PPIM PUJI KETEGASAN KETUA POLIS NEGARA
Kuala Lumpur – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengucapkan tahniah atas
ketegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam membetulkan segala
kepincangan dalaman pasukan keselamatan itu.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi menyifatkan kenyataan Razarudin sebagai satu
tamparan hebat terhadap kepincangan dalam pengurusan dalamannya walaupun
disampaikan secara bersahaja.
“Kami percaya Tan Sri Razarudin ikhlas dalam tegurannya itu kerana beliau ingin
memulihkan kembali kedudukan PDRM sebagai sebuah pasukan yang paling berintegriti
dalam menjamin keamanan dalam negeri,” katanya.
Tambah Nadzim, PPIM berharap anggota polis menerima teguran itu secara positif dan
ikhlas demi keselamatan rakyat.
“Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah terhadap sikap
Razarudin yang berterus-terang terhadap apa yang berlaku di dalam PDRM dan berharap
setiap anggotanya di semua peringkat agar bekerja sebagai sebuah pasukan keselamatan
yang paling mantap,” ujarnya.
PPIM katanya, akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan kerjasama kepada
pihak polis dalam membanteras jenayah dan salah laku dalam masyarakat kita.
Semalam, PPIM turut dimaklumkan berlaku rombakan besar-besaran melibatkan pasukan
MPV Polis Selangor.
“Walaupun ada anggota yang kurang senang dengan pertukaran mengejut itu, mereka harus
faham ia sebahagian daripada tanggungjawab PDRM mengekalkan integriti pasukan dan
mereka (anggota) harus memainkan peranan melaporkan segala salahlaku rakan sepasukan
baru membersihkan nama PDRM,” katanya
PPIM sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan seluruh warga PDRM dan berharap punca
utama keruntuhan integriti dikalangan anggota dapat diatasi segera.
“Kerajaan dan pihak pengurusan PDRM harus mengkaji apakah punca berlakunya masalah
integriti dalam pasukan dan berusaha menanganinya secara telus,” katanya.