Premier Integrated Rehab Seru Kerjasama Perkukuh Ekosistem Pemulihan Kesihatan Negara

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Premier Integrated Rehab (PIR), yang dahulunya dikenali sebagai Pantai Integrated Rehab, telah melakar sejarah baharu dalam dunia pemulihan kesihatan apabila meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya dengan pelancaran identiti jenama baharu. Majlis pelancaran yang berlangsung di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Indera Dr. Nor Azimi binti Yunus.
Penjenamaan semula ini mencerminkan iltizam PIR untuk terus menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan berkualiti, berasaskan garis panduan klinikal dan keperluan khusus pesakit. Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, PIR telah membina lebih daripada 20 pusat pemulihan di seluruh negara, menawarkan perkhidmatan fisioterapi, terapi carakerja, dan terapi pertuturan yang dikendalikan oleh profesional kesihatan bersekutu yang berdaftar dan bertauliah.

Ketua Ambulatori, Kesihatan Bersekutu & Perkhidmatan Sokongan IHH Healthcare Malaysia, Hareeff Muhammed berkata, penjenamaan semula ini adalah cerminan aspirasi PIR untuk berkembang seiring perubahan landskap penjagaan kesihatan, sambil terus menyokong masyarakat dalam setiap fasa pemulihan mereka.
“Dengan komitmen terhadap rawatan selamat dan berkesan, setiap pengamal kami menjalani proses penilaian kompetensi dan pengiktirafan klinikal. Fokus kami adalah memastikan keberkesanan hasil rawatan serta penglibatan aktif pesakit dalam proses pemulihan mereka,” katanya.
PIR kini mengamalkan model pemulihan berasaskan nilai yang menekankan:
Amalan klinikal berasaskan bukti
Pengukuran hasil rawatan
Penggunaan sumber secara cekap
Penglibatan pesakit dalam membuat keputusan
Model ini sejajar dengan Kertas Putih Kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, yang memberi penekanan kepada kualiti, kebolehcapaian dan hasil jangka panjang dalam sistem kesihatan negara.
Sebagai inisiatif inovatif, PIR turut memperkenalkan TheraGo, sebuah perkhidmatan pemulihan mudah alih yang menyediakan rawatan terus ke tempat kerja. Melalui TheraGo, organisasi dapat menawarkan:
Fisioterapi di tempat kerja
Penilaian ergonomik
Sokongan kesihatan pencegahan
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah membantu mengekalkan produktiviti dalam jangka panjang.
Dalam usaha memperluas jangkauan, PIR turut menjalin kerjasama dengan komuniti, universiti awam, serta melaksanakan program outreach ke kawasan kurang mendapat perhatian, selaras dengan matlamat nasional untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih desentralisasi dan berorientasikan pencegahan.

Melihat kepada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pemulihan, PIR menyeru agar semua pihak – termasuk pengamal klinikal, syarikat insurans, pemain industri korporat serta pembuat dasar – untuk bekerjasama dalam memperkukuh ekosistem pemulihan kesihatan negara.
“Kerjasama ini penting bagi meningkatkan akses, konsistensi dan kesinambungan penjagaan pemulihan,” tambah Hareeff.
Dengan identiti baharu dan hala tuju strategik yang segar, Premier Integrated Rehab bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Organisasi ini kekal berpegang pada nilai-nilai teras mereka – keselamatan pesakit, penjagaan bertanggungjawab, serta pembangunan ekosistem kesihatan yang mampan dan terintegrasi.