Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Bahagian Penguat Kuasa melancarkan satu operasi serbuan pada 13 Mac 2026 di sekitar Kuala Lumpur, membongkar kegiatan penyimpanan dan penjualan jam tangan berjenama tiruan.

Serbuan hasil risikan hampir sebulan itu mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi menyimpan serta menjual pelbagai jenama jam tangan tiruan, dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa berjaya menyita sebanyak 790 unit jam tangan tiruan, bersama kotak, beg kertas berjenama dan barangan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan penyimpanan serta penjualan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM790,600.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang bertindak sebagai pengurus premis, termasuk mengurus stok dan jualan. Premis dua tingkat itu beroperasi secara tertutup — bahagian bawah dijadikan bengkel servis jam, manakala tingkat atas digunakan untuk jualan dan penyimpanan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Premis tersebut juga dilengkapi sistem keselamatan ketat termasuk pintu kaca berkunci kawalan jauh serta kamera litar tertutup (CCTV). Aktiviti jualan dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu bagi mengelakkan dikesan.
Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.
KPDN menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam penjualan atau pengedaran barangan tiruan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan hak pemilik cap dagang serta kepentingan pengguna.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.


