PRISMA dan PEMULIH terus bela nasib penggiat industri kreatif

PUTRAJAYA, 2 JULAI 2021 – Kerajaan peka dan prihatin tentang nasib penggiat seni serta hala tuju industri kreatif yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19. Sejak awal penularan pandemik COVID-19, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah melancarkan pelbagai inisiatif bagi memberi sokongan kepada para penggiat seni.
Antaranya, Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dilancarkan pada 5 Februari 2021. PRISMA terbuka kepada 4 kategori iaitu kategori penggiat industri filem, muzik, kandungan kreatif digital dan penggiat seni visual, persembahan dan kraf.
Sejumlah RM89.2 juta disediakan di bawah peruntukan sedia ada untuk melaksanakan 32 program di bawah KKMM, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).
Sehingga 1 Julai 2021, kesemua 32 program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) telah dibuka dengan sebanyak 13,712 permohonan telah diluluskan bersamaan dengan nilai RM48.8 juta dan melibatkan sebanyak 19,000 pekerjaan.
Selain itu, peruntukan tambahan RM100 juta disediakan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi melaksanakan 13 inisiatif utama dalam bentuk kemudahan pembiayaan, pembangunan kapasiti, akses pasaran dan promosi, serta produksi di televisyen dan radio dan mensasarkan lebih 8,000 penerima manfaat daripada pelbagai bidang antaranya penyanyi, pemuzik, pelakon, penulis skrip, penciptaan lagu, penggiat teater, artis seni persembahan, kraf, syarikat penerbitan serta kru produksi dan teknikal di belakang tabir.
Dianggarkan juga sebanyak 35,000 pekerjaan bakal diwujudkan daripada inisiatif ini. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk meneruskan program-program di bawah PRISMA yang sedang dilaksanakan
Sehubungan dengan itu, kami di KKMM menyeru supaya para penggiat seni mengambil peluang untuk memohon program-program yang masih dibuka.
Tawaran program boleh dilayari melalui laman web KKMM di alamat www.kkmm.gov.my/awam/prisma dan di laman web agensi-agensi KKMM iaitu:
RTM : www.rtm.gov.my/index.php/terkini/pengumuman/4899-pakej-
rangsangan-industri-kreatif-malaysia
FINAS : www.finas.gov.my/prisma
MDEC : www.mdec.my/prisma
MyCreative Ventures: www.mycreative.com.my/prisma
CENDANA : www.cendana.com.my/opportunities/prisma
KKMM dan juga agensi-agensinya sentiasa aktif berkongsi maklumat terkini program dan aktiviti berkaitan industri kreatif di media sosial.