Program CSR Ramadan, Pertubuhan Keharmonian, Kebahagiaan dan Kesihatan Sejagat (P3K) Hulurkan Bantuan kepada Masyarakat

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 — Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, Pertubuhan Keharmonian, Kebahagiaan dan Kesihatan Sejagat (P3K) bersama ahli-ahli profesional kesihatan, telah melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) bertujuan memberi sedikit keceriaan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Program yang dianjurkan setiap tahun ini melibatkan penyertaan doktor dan pakar dari pelbagai bidang kesihatan, termasuk Dato Dr. Zuraidah, seorang pakar pediatrik di Ampang. Mereka bersama-sama menyampaikan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik, terutamanya di sekitar kawasan hospital dan pusat-pusat kesihatan.
Menurut Dr Noor Haliza Yussoff, Pengerusi P3K, beliau juga berkhidmat sebagai seorang Pengarah di Hospital Ohana Specialist Hospital Sri Rampai. Program ini tidak hanya diadakan di Hospital Ohana Special Hospital, tetapi juga dilaksanakan di pelbagai lokasi lain melalui kerjasama dengan AJK-AJK setempat.


“Kami memberi sedikit sumbangan dalam bentuk pengetahuan, bantuan kewangan, atau apa sahaja yang diperlukan oleh masyarakat,” kata beliau. “Tujuan utama kami adalah untuk menyebarkan semangat kebaikan dan keharmonian, terutamanya pada bulan yang penuh dengan rahmat ini.”– Dr Noor Haliza

P3K yang terdiri daripada ahli-ahli profesional kesihatan dari HGL, HTA, dan pelbagai organisasi kesihatan di seluruh negara, telah bergerak aktif sejak lebih dua tahun lalu. Pertubuhan ini telah memberikan sumbangan kepada pelbagai komuniti, pertubuhan, dan individu yang memerlukan bantuan.


“Semoga usaha kecil kami ini dapat memberikan impak yang besar kepada mereka yang memerlukan. Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, dan kami berharap semangat ini dapat dikongsi bersama-sama,” tambah Dr. Noor Haliza
Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, program ini bukan sahaja bertujuan memberi bantuan kepada yang memerlukan, tetapi juga untuk mengukuhkan silaturahim dan semangat kebajikan dalam kalangan masyarakat.



