BAZAR RAYA NADI PERKASA KEUSAHAWANAN KOMUNITI

  • March 22, 2025
  • 2 min read
BAZAR RAYA NADI PERKASA KEUSAHAWANAN KOMUNITI

KUALA LUMPUR, 22 Mac 2025 – Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional
(NADI), satu inisiatif di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI anjuran
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mampu untuk
membantu usaha kerajaan dalam memperkasakan aspek keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam
memperkasakan pembangunan perniagaan, memperkukuh daya saing serta
meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti setempat.

Penganjuran Bazar Raya NADI bertujuan untuk memperkenalkan serta
mempromosikan Program Keusahawanan Perkhidmatan Pintar NADI yakni satu
platform komprehensif yang menyediakan latihan serta bimbingan dalam bidang
keusahawanan selain menarik lebih ramai komuniti menyertai program ini.

Selain itu, program Bazar Raya NADI turut memberi peluang kepada usahawan
untuk memperluas pasaran dan capaian pelanggan, merintis peluang kerjasama
serta memperkukuh rangkaian perniagaan dalam kalangan usahawan NADI.
Pada masa sama, para usahawan juga boleh memasarkan produk mereka dan
memperkenalkan perniagaan kepada komuniti setempat menjelang sambutan
Hari Raya Aidilfitri.

Pelancaran Bazar Raya NADI telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, YB
Datuk Fahmi Fadzil dalam satu majlis di NADI Sri Pantai, Kuala Lumpur. Program
tersebut turut berlangsung secara serentak di 1,077 NADI seluruh negara
membabitkan penyertaan lebih 5,000 orang usahawan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan di NADI Sri Pantai bagi menarik penyertaan
komuniti setempat dan memperkasakan usahawan seperti Jualan Rahmah
MADANI KPDN, jualan ayam PELADANG NAFAS dengan harga istimewa, jualan
Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta
jualan pelbagai produk keperluan Hari Raya oleh usahawan NADI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *