Sibu, 7 Mac – Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan 2026 di Sungkei Perdana menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sibu, Pusat Khidmat ADUN Nangka dan Kawasan Rukun Tetangga Bahagian Sibu itu menyaksikan aktiviti gotong-royong memasak serta mengagihkan 5,000 bekas bubur lambuk kepada masyarakat setempat.
Inisiatif tersebut bukan sahaja meneruskan tradisi Ramadan, malah bertujuan mengukuhkan nilai kemanusiaan, hormat-menghormati dan semangat perpaduan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam majlis sama, Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang memaklumkan Sarawak mencatat skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 tertinggi di Malaysia iaitu 0.791, hasil interaksi harmoni antara masyarakat berbilang etnik.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan rakyat Sarawak menjadi contoh terbaik dalam memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati antara kaum.
Namun, beliau menegaskan usaha memperkukuh perpaduan perlu diteruskan melalui inisiatif strategik termasuk peranan pendidikan dan media dalam mempromosikan naratif kebersamaan merentas etnik.
Menurutnya, nilai faham, hormat, terima dan meraikan perbezaan perlu terus diamalkan bagi memastikan keharmonian masyarakat serta kestabilan negara terus terpelihara.



