Program Khas TV3 & 8TV sempena pembentangan bajet 2023

Petaling Jaya, 5 October 2022 – Pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan YB Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV3 dan 8TV pada hari Jumaat, 7 Oktober 2022, pukul 4.00 petang.
Program bual bicara Bajet 2023 yang disiarkan di TV3 akan dikendalikan oleh Mior Abd Malek Raiyani dan Azaria Tagaya pada pukul 3.00 petang selama 3 jam dan 30 minit. Dua tetamu undangan yang berpengalaman dalam bidang ekonomi iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bekas Menteri Kewangan Kedua dan Rafizi Ramli akan mengupas topik-topik berkaitan ekonomi dan masyarakat seperti Keluaran Dalam Negara Kasa (KDNK), Kadar Dasar Semalaman (OPR), nilai mata wang Ringgit, subsidi agihan dan bantuan, serta topik-topik lain. Terdapat juga bingkisan slot Kapsul Harapan Rakyat untuk Bajet 2023, paparan interaktif Realiti Tertambah atau Augmented Reality (AR) mengenai informasi dan data ekonomi sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, 8TV juga turut menyediakan program khas sempena bajet 2023 iaitu Pre-Budget Special Programme yang akan disiarkan secara langsung selama 30 minit bermula pukul 3.30 petang. Program khas ini akan dihoskan oleh Wang Chun Pin bersama dua orang tetamu jemputan Dr Wong Chin Yoong, profesor bidang ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman dan Datuk Koong Lin Loong, Bendahari Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) dan Pengerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) ACCCIM. Antara topik yang akan dikupaskan adalah manfaat yang diperoleh rakyat, cara membantu usahawan dan peniaga, penggunaan GST dan topik penting berkaitan ekonomi negara. Pada sebelah malamnya pula, Mandarin News turut menyiarkan segmen khas berkaitan Bajet 2023 pada pukul 8.00 malam dengan tetamu istimewa, Dr Saizi Xiao, Pembantu Professor Bidang Ekonomi Nottingham University Malaysia dan Ng Zhu Hann, Pengulas Ekonomi untuk diskusi belanjawan 2023 yang terbaharu.
Ikuti siaran langsung Program Bual Bicara Bajet 2023, bermula pukul 3.00 petang di TV3, Pre-Budget Special Programme pada pukul 3.30 petang di 8TV dan Mandarin News pada pukul 8.00 malam. Program-program ini juga boleh distrim secara langsung di www.tonton.com.my.