Rakyatpreneur dan Unipreneur bagi tahun 2022 lancar dengan peruntukan RM4 juta

  • October 13, 2022
  • 3 min read
Rakyatpreneur dan Unipreneur bagi tahun 2022 lancar dengan peruntukan RM4 juta

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2022 – Bank Rakyat komited memperkasakan usahawan
Rakyatpreneur dan UNIpreneur bagi tahun 2022 dengan peruntukan dana keseluruhan berjumlah RM4 juta untuk dimanfaatkan oleh 800 usahawan berpotensi.

Kedua-dua program yang bermula pada Julai lalu itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan program rintisnya yang dilancarkan sebelum ini bertujuan membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan asnaf termasuk usahawan mahasiswa asnaf menerusi latihan dan bimbingan keusahawanan serta pemantauan secara inklusif dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan sosial.


“Saya amat berbangga dengan komitmen Bank Rakyat dalam memainkan peranan penting sebagai enjin pertumbuhan yang menggerakkan semula sektor perusahaan
mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) negara yang dapat mentransformasikan dan memperkasakan ekonomi negara dan Keluarga Malaysia,” ujar Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh bin Haji Omar semasa menghadiri Majlis Pelancaran RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur bagi tahun 2022 di Menara Kembar Bank Rakyat.


Tan Sri Noh turut berkongsi dalam ucapan perasmiannya, seramai 106 orang peserta
atau 62.5 peratus daripada 170 orang peserta RAKYATpreneur secara keseluruhan bagi
sesi 2021 berjaya merekodkan peningkatan dalam jualan manakala 67 peratus usahawan mahasiswa Bank Rakyat UNIpreneur pula mencatatkan peningkatan jualan selepas enam bulan penglibatan dalam program rintis berkenaan.

“Saya berharap agar peserta RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur terus
memanfaatkan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan melihat bidang
keusahawanan ini sebagai satu opsyen yang realistik untuk dijadikan alternatif kerjaya
yang harus diceburi seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada komuniti
setempat,” kata Tan Sri Noh.

Dalam pada itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pelaksanaan RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini seiring dengan aspirasi
Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025
(BR25) dalam mengutamakan keseimbangan antara operasi perniagaan dan tanggungjawab Bank terhadap komuniti dengan memberi keutamaan kepada kemajuan ekonomi yang berterusan dan mampan.

Beliau berkata, kedua program bagi tahun ini dirancang dengan lebih komprehensif dan
ditambah baik daripada siri sebelum ini bagi memastikan ia terus relevan dan membantu
meningkatkan pendapatan peserta sehingga 30 peratus.

“Sejak diperkenalkan, program ini mencatatkan prestasi yang baik serta kejayaan yang
membanggakan buat peserta.

Harapan kami agar usahawan ini bergerak daripada status mikro kepada kecil, kecil ke sederhana dan semoga suatu hari nanti mereka ini mampu menjadi antara Syarikat Tersenarai Awam. Insya-Allah,” ujar beliau.

Tambah Datuk Haji Abd Rani, bagi memastikan inisiatif ini memberikan impak yang lestari
kepada alumni RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur, Bank Rakyat akan
memberikan bimbingan dan latihan berterusan yang diperlukan bagi memastikan perniagaan mereka terus kekal relevan dan mampan.

Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur sebelum ini berjaya membantu
ramai usahawan antaranya Latifah Jaafar, 59, dari Selangor yang mesra dikenali sebagai
Mak Wan merupakan pengusaha perniagaan pes makanan kini berjaya mengeskport
produknya dengan menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, jenama Taco’s yang mengusahakan perniagaan tortilla oleh Mohd Rizuan
Abdul Hamid, 34, dari Perak merupakan hasil bimbingan daripada program RAKYATpreneur 2.0 dan kini perniagaannya semakin berkembang sehingga berjaya membuka sembilan kios di Perak dan Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *