Tertekan pedal minyak, MPV rempuh ‘outlet’ BubbleBee Meru

IPOH: Tular kisah rempuhan sebuah ‘outlet’ BubbleBee di pasar raya besar di Meru Raya oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai kerana pemandunya tanpa sengaja menekan pedal minyak.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan awal mendapati bahawa kejadian itu berlaku pada 10.35 pagi tadi.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata kejadian itu berlaku ketika pemandu terbabit, seorang lelaki berusia 43 tahun sedang meletakkan keretanya di lot parkir luar bangunan yang berhadapan dengan premis tersebut.

“Semasa pemandu lelaki itu meletak kereta di lot parkir, tiba-tiba dia tertekan pedal minyak dan meluncur melanggar motosikal jenis Honda yang diparkir di hadapannya.
“Seterusnya pemandu itu terlanggar premis perniagaan di situ.
“Punca kemalangan adalah disebabkan pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaan dan tertekan pedal sehingga merempuh motosikal dan premis,” katanya.
Beliau mendakwa tiada kecederaan atau kematian akibat kemalangan itu.
Tambahnya, penyelia premis wanita berusia 25 tahun dan pemilik motosikal iaitu seorang wanita berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Mohd Yusri, kejadian itu turut menyebabkan kerosakan serius pada mesin, peralatan dan kabinet di premis itu.
Katanya, kes itu masih dalam siasatan dan ia dikategorikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).