Ratu Elizabeth II mangkat
Ratu Elizabeth II, pemerintah paling lama dalam sejarah British, telah mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, menurut pengumuman oleh Istana Buckingham pagi ini.
Sebelum ini, kerabat diraja dikhabarkan sudah berkumpul di Scotland kerana tahap kesihatan Ratu dikatakan tidak stabil.
Sehari sebelumnya, beliau menghadiri majlis pelantikan Perdana Menteri United Kingdom, Liz Truss di Balmoral.
Awal tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II menaiki takhta dengan sambutan selama empat hari pada Jun lalu.
Ratu Elizabeth atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan pada 21 April 1926 di 17 Bruton St, London.
Ratu Elizabeth adalah ketua negara bagi 15 negara Komanwel termasuk UK, Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, St Kitts dan Nevis, St Lucia, St Vincent dan Grenadines dan Tuvalu.