Rentak Budaya 2026 Gegarkan Kuala Lumpur, Ella dan Kaka Azraff Jadi Tarikan Utama

Tiga hari meraikan seni, budaya dan warisan menerusi persembahan artis popular, demonstrasi seni tradisional serta aktiviti interaktif di River of Life dan Padang Merbok.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2026 – Ibu kota bakal disemarakkan dengan gabungan muzik, seni dan warisan menerusi penganjuran Rentak Budaya 2026 selama tiga hari, bermula 30 Oktober hingga 1 November ini, dengan menampilkan barisan artis popular termasuk Ella dan Kaka Azraff.

Berlangsung di dua lokasi strategik, iaitu River of Life dan Padang Merbok, festival itu menghimpunkan pelbagai pengisian merangkumi persembahan muzik, kesenian tradisional, demonstrasi kraf, bengkel kebudayaan serta aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.

Dianjurkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), festival itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan kepelbagaian seni dan warisan negara menerusi pendekatan lebih santai, terbuka dan mesra pengunjung.

Ella, Kaka Azraff Meriahkan Pentas Padang Merbok

Antara tarikan utama festival ialah persembahan pentas di Padang Merbok yang dijadualkan bermula jam 8 malam, dengan menampilkan Ella, Kaka Azraff serta ikon lagu tradisional, Haziq Rosebi dan Rosma Sidek.

Turut memeriahkan pentas ialah Issey & Friends menerusi persembahan Dikir Barat, selain persembahan seni tradisional yang mengetengahkan keunikan budaya Malaysia.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan warisan termasuk Gendang Rebana, Silat, Tarian Joget, Zapin Berk opak dan Gendang 24, sekali gus memperlihatkan kekayaan seni persembahan tempatan yang diwarisi turun-temurun.

Gabungan artis popular dengan penggiat seni tradisional itu diharap dapat mewujudkan ruang pertemuan antara muzik kontemporari dan warisan budaya, di samping menarik minat generasi muda untuk mengenali serta menghargai seni tempatan.

Acara di Padang Merbok turut berlangsung bersempena dengan sambutan Hari Permainan Malaysia 2026 yang diadakan di kawasan bersebelahan, manakala pelbagai gerai makanan dan minuman disediakan bagi memeriahkan suasana sepanjang festival.

River of Life Hidupkan Seni dan Budaya Secara Interaktif

Berbeza dengan persembahan pentas berskala besar di Padang Merbok, River of Life menawarkan pengalaman seni dan budaya yang lebih dekat dengan pengunjung menerusi pelbagai aktiviti yang boleh disertai secara langsung.

Sepanjang tiga hari penganjuran, dari jam 10 pagi hingga 10 malam, kawasan itu akan menempatkan gerai jualan yang menawarkan produk berasaskan kraf, seni dan budaya.

Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati persembahan, malah berpeluang mencuba sendiri pelbagai aktiviti menerusi demonstrasi, bengkel dan sesi interaktif yang disediakan.

Antara pengisian menarik termasuk Sembang Seni, persembahan buskers, demonstrasi Tarian Zapin, Bengkel Membuat Tanjak, Bengkel Batik, demonstrasi pemakaian Busana Malaysia, Bengkel Kaligrafi dan Seni Khat serta persembahan sketsa.

Pentas mini turut menampilkan Ann Abdullah, Kumpulan Teater Hidayah, Kyoji Sky, Siddiq Band, Mie Raja Lawak dan Pak Chu Raja Lawak, selain penggiat seni serta budaya tempatan.

Pendekatan itu menjadikan River of Life bukan sekadar lokasi untuk menikmati persembahan, sebaliknya ruang interaksi yang membolehkan pengunjung mengenali proses di sebalik penghasilan seni, mencuba kemahiran tradisional dan berinteraksi secara langsung dengan penggiat budaya.

Seni Tradisi Dekati Generasi Baharu

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata Rentak Budaya diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan artis, penggiat seni dan budaya dengan masyarakat dalam suasana lebih santai dan terbuka.

Menurutnya, festival berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada persembahan seni, tetapi turut menggalakkan masyarakat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menghayati kepelbagaian budaya negara.

“Rentak Budaya bukan sekadar pentas persembahan artis. Kita mahu masyarakat datang bersama keluarga, melihat, mencuba dan merasai sendiri kepelbagaian seni serta budaya yang kita miliki.

“Di River of Life, pengunjung boleh berinteraksi secara lebih dekat dengan penggiat seni, manakala di Padang Merbok kita tampilkan persembahan berskala lebih besar yang menggabungkan artis popular dengan seni kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkenalkan seni dan budaya melalui pendekatan yang segar penting bagi memastikan warisan negara terus diraikan serta kekal dekat di hati masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kita mahu Rentak Budaya menjadi ruang pertemuan antara seni tradisi dengan generasi hari ini. Seni dan budaya perlu terus diraikan, diberi ruang dan diperkenalkan dengan pendekatan yang segar supaya ia kekal dekat di hati masyarakat,” katanya.

Festival Terbuka untuk Semua Lapisan Masyarakat

Dengan pengisian dari pagi hingga malam, Rentak Budaya 2026 menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga, golongan muda, peminat seni, pelancong dan pengunjung sekitar Kuala Lumpur.

Penganjuran di dua lokasi dengan konsep berbeza turut memberi peluang kepada orang ramai menikmati festival mengikut minat masing-masing, sama ada menerusi persembahan pentas utama mahupun aktiviti kebudayaan yang lebih interaktif.

Orang ramai dijemput hadir ke River of Life dan Padang Merbok dari 30 Oktober hingga 1 November ini untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Malaysia menerusi Rentak Budaya 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *