RPT MAHA ANNATHANAM 2026 DI KLANG BERLANGSUNG MERIAH, LEBIH 15,000 HADIR

KLANG, 9 Mei 2026 — Sambutan tahunan RPT Maha Annathanam 2026 berlangsung dengan penuh meriah di Kuil Sri Subramaniar, Pandamaran, Klang, hasil anjuran Rajayoga Power Transcendental Meditation Society (RPT) yang telah menganjurkan acara kebajikan berskala besar ini sejak tahun 2006.

Program berprestij ini diadakan bersempena sambutan Hari Lahir Pengasas dan Presiden RPT, YBhg. Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan, yang lebih dikenali dalam kalangan ahli sebagai Dato’ Sri Guruji, yang disambut pada 22 Februari 2026 lalu.

Sambutan RPT Maha Annathanam 2026 dianjurkan di bawah naungan isteri Presiden RPT, YBhg. Datin Sri Sundari Balakrishnan, manakala pengelolaan utama program pada tahun ini diketuai oleh anak perempuan beliau, Dr. Seetah Balakrishnan, bersama ahli jawatankuasa RPT Malaysia.

Acara yang bermula seawal jam 4.00 pagi itu dijangka berakhir sekitar jam 3.00 pagi keesokan harinya dengan pelbagai pengisian kerohanian, kebajikan serta kebudayaan yang menarik perhatian ribuan pengunjung.

Lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan tersebut yang turut dihadiri ahli-ahli RPT dari Malaysia, Singapura, India, United Kingdom, Australia, Kanada dan Hungary bersama ahli keluarga masing-masing.

Sepanjang sambutan berlangsung, pengagihan makanan percuma secara besar-besaran dilakukan di perkarangan rumah ibadat berkenaan sebagai simbol kebajikan dan semangat kemanusiaan yang menjadi teras utama perjuangan RPT.

Selain makanan tengah hari istimewa bersama manisan tradisional, pihak penganjur turut menyediakan sarapan pagi percuma kepada semua pengunjung yang hadir sejak awal pagi.

Tetamu kehormat sambutan ialah Presiden RPT sendiri, YBhg. Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan, yang hadir bersama keluarga termasuk anak perempuan beliau, Dr. Seetah Balakrishnan, dan menantu beliau, Dr. Mahesh Anand.

Ketibaan beliau sekitar jam 10.30 pagi disambut penuh meriah oleh para hadirin sebelum memulakan upacara sembahyang khas.

Dalam majlis sama, Presiden RPT turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Kuil Sri Subramaniar, Pandamaran, Klang sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap institusi keagamaan itu.

Beliau kemudiannya menyampaikan ucapan khas sambutan RPT Maha Annathanam 2026 di hadapan ribuan pengunjung yang begitu teruja dengan kehadiran beliau bersama keluarga.

Di samping pengisian keagamaan, sambutan RPT Maha Annathanam 2026 turut mengetengahkan elemen seni dan budaya India menerusi persembahan tarian klasik, tarian rakyat (folk dance) serta persembahan Tarian Singa (Lion Dance) yang melambangkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Para hadirin turut mengenakan pakaian tradisional mengikut tema sambutan, manakala kanak-kanak diraikan dengan pemberian aiskrim dan belon percuma sepanjang acara berlangsung.

Bagi memudahkan pengunjung mengikuti program, skrin elektronik dan skrin digital dipasang di beberapa lokasi sekitar kawasan kuil bagi menayangkan secara langsung aktiviti serta pengisian program.

Menurut pihak penganjur, persiapan sambutan tahun ini dilakukan selama hampir dua bulan dan berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama lebih 600 sukarelawan RPT, majoritinya golongan muda.

Para sukarelawan memainkan peranan penting dalam pengurusan kawalan keselamatan, pengagihan makanan, pengurusan aliran hadirin serta penyelarasan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Bagi mengelakkan kesesakan, makanan diagihkan di dua lokasi berasingan selain laluan khas turut disediakan untuk wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Dari aspek keselamatan dan kesihatan, seramai 20 pegawai perubatan RPT bersama anggota paramedik swasta ditempatkan sepanjang program berlangsung termasuk penyediaan ambulans kecemasan.

Selain itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang turut berada dalam keadaan bersiap siaga bagi membantu sekiranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang sambutan berlangsung.

Sejak penubuhan RPT, YBhg. Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan dan YBhg.

Datin Sri Sundari Balakrishnan sentiasa menitikberatkan nilai agama, tradisi, seni budaya, moral serta keharmonian institusi kekeluargaan dalam membentuk organisasi tersebut.

Nilai-nilai tersebut jelas diterapkan dalam sambutan RPT Maha Annathanam 2026 yang bukan sahaja menekankan aspek kerohanian dan kebajikan, malah berjaya mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan generasi.

Secara keseluruhannya, sambutan RPT Maha Annathanam 2026 sekali lagi membuktikan kejayaan RPT dalam menganjurkan program berskala besar yang membawa manfaat kepada masyarakat serta memberi kegembiraan dan kepuasan kepada semua hadirin yang hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *