PULAU LANGKAWI– YB Menteri Dalam Negeri telah
mengadakan lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan di
kawasan utara negara melibatkan Teluk Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour,
Pulau Langkawi pada 24 hingga 25 April 2026 bagi menilai tahap kesiapsiagaan
operasi serta memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti
ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan.
Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus
memperkukuh kawalan sempadan negara sebagai langkah memastikan
keselamatan negara sentiasa terpelihara serta melindungi kebajikan rakyat,
khususnya daripada kesan ketirisan barangan bersubsidi yang boleh
menjejaskan kestabilan bekalan domestik.
Lawatan ini merangkumi tinjauan udara di perairan strategik sekitar Langkawi,
diikuti dengan tinjauan darat ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di
Teluk Ewa serta kemudahan penguatkuasaan di Telaga Harbour, Langkawi.
YB Menteri turut diberikan taklimat operasi oleh agensi berkaitan berhubung
pelaksanaan kawalan sempadan, termasuk pengurusan kemasukan feri
antarabangsa, kapal layar serta aktiviti maritim di jeti utama di kawasan tersebut.
Pulau Langkawi mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu hadapan negara
di sempadan Malaysia–Thailand dengan ciri geografi maritim yang terbuka serta
pergerakan antarabangsa yang aktif melalui pelabuhan dan jeti. Walaupun kekal sebagai kawasan bebas cukai, langkah rasionalisasi sejak tahun 2021 telah
mengurangkan kelebihan harga bagi barangan tertentu; namun perbezaan
harga yang masih wujud berbanding tanah besar dan negara jiran terus
mewujudkan risiko penyalahgunaan serta aktiviti penyeludupan secara kecil
tetapi kerap, sekali gus menuntut pengukuhan kawalan dan pemantauan secara bersepadu oleh agensi penguatkuasaan.
Seiring dengan keperluan memperkukuh kawalan sempadan dalam menghadapi
cabaran semasa, pelaksanaan Op TIRIS terus menunjukkan keberhasilan dalam
mengekang ketirisan barangan kawalan melalui tindakan penguatkuasaan
bersepadu di seluruh negara.
Bagi negeri Kedah, pelaksanaan Op TIRIS bagi tahun 2026 sehingga 22 April
telah merekodkan sebanyak 58 kes melibatkan rampasan pelbagai komoditi
barangan kawalan dengan jumlah kuantiti keseluruhan barang sebanyak 33,586
dan nilai rampasan berjumlah RM121,945.45. Komoditi yang terlibat
merangkumi diesel, petrol, LPG, minyak masak, gula pasir kasar dan tepung
gandum, mencerminkan kepelbagaian barangan yang menjadi sasaran aktiviti
penyeludupan. Daripada jumlah tersebut, rampasan diesel mencatatkan nilai
tertinggi iaitu sebanyak RM101,676.20, diikuti petrol sebanyak RM10,561.54,
minyak masak RM4,839.60, LPG RM3,873.20, gula pasir kasar RM668.07 dan
tepung gandum RM326.84. Statistik ini menunjukkan bahawa komoditi bahan
api terus menjadi sasaran utama sindiket, khususnya di kawasan berisiko tinggi
seperti laluan sempadan darat dan perairan negeri Kedah.
Dalam masa yang sama, operasi-operasi lain seperti Op Taring Wawasan, Op
Pesisir Pantai Barat Utara, Op Sejahtera dan Op Cegah PATI terus dilaksanakan
bagi memperkukuh kawalan sempadan serta melindungi negara daripada
pelbagai bentuk ancaman keselamatan termasuk penyeludupan, pencerobohan
dan kemasukan pendatang asing tanpa izin.



