Runtuhan Batu Maung: Pekerja Asing Tiada Caruman Perkeso Alert: Majikan Berdepan Tindakan Perundangan
KUALA LUMPUR: Lima daripada sembilan pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak
mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas
melanggari Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, menegaskan bahawa pihaknya menerusi
PERKESO akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang
bertanggungjawab menggaji pekerja asing di tapak projek pembinaan gudang
logistik itu.
“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut
Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun
penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas
mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak
perlindungan sosial mereka,” katanya, hari ini.
Semua pekerja asing, termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor
pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO, berkuatkuasa sepenuhnya 1 Januari 2020.
Hasil semakan kementerian terhadap empat pekerja asing, masing-masing dua
yang maut dan dua mengalami cedera parah dalam kejadian menyayat hati
semalam didapati mempunyai rekod pendaftaran dengan PERKESO, tetapi tiada
caruman, sejak diambil bekerja antara 2020 hingga Julai 2023.
Bagaimanapun, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod
pendaftaran dan caruman dengan PERKESO.
Sehingga kini, kementerian menerusi PERKESO masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan, mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian.
Berdasarkan perangkaan setakat 31 Oktober lalu, Sivakumar berkata, lebih 1.88
juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke PERKESO.
“Bagaimanapun, jumlah liputan caruman bagi pekerja asing berbanding kemasukan
tenaga buruh luar ke Malaysia menunjukkan masih ada segelintir majikan yang ingkar dalam mematuhi peruntukan Akta 4,” katanya.