KUALA LUMPUR – Suasana perjalanan MRT bertukar meriah apabila acara Melodi Glam Raya Runway mencuri perhatian ramai dengan penganjuran pertunjukan fesyen unik di dalam tren MRT dari Stesen Bandar Utama hingga Tun Razak Exchange (TRX).


Acara yang berlangsung pada 12 Mac itu menggabungkan elemen fesyen, muzik dan hiburan dalam satu pengalaman Aidilfitri yang luar biasa kepada para penumpang.
Kemeriahan bermula di Stesen MRT Bandar Utama dengan persembahan flash mob oleh bakat One In A Million (OIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam, bersama selebriti Sharifah Rose dan Fahim Ahmad yang menari mengiringi lagu Raya jenama Watsons.
Acara diteruskan dengan pelepasan rasmi tren khas Melodi Glam Raya Runway, sebelum para tetamu di dalam tren dihiburkan dengan persembahan lagu tema Watsons Raya oleh finalis OIAM serta nyanyian Nabila Razali.
Segmen runway turut menampilkan model memperagakan rangkaian produk penjagaan diri, kecantikan dan kesihatan daripada Watsons, selain koleksi pakaian serta aksesori Raya daripada jenama tempatan rakan TikTok Shop.
Menariknya, produk yang diperagakan boleh terus dibeli oleh penonton melalui fungsi “beg kuning” di TikTok Shop sepanjang siaran langsung acara, sekali gus memperkenalkan pengalaman membeli-belah secara interaktif.
Sepanjang perjalanan tren, suasana turut diserikan dengan sesi santai bersama hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, sebelum tren berhenti di Stesen MRT Pasar Seni untuk kemunculan model seterusnya.
Kemuncak acara berlangsung di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) dengan persembahan pembukaan oleh Datuk Seri Aliff Syukri, diikuti barisan penyanyi popular seperti Aisha Retno, Amir Masdi, Nabila Razali dan Ernie Zakri yang menghangatkan pentas utama.
Acara tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana menjelang Aidilfitri, malah memperlihatkan gabungan kreatif antara fesyen, hiburan dan pengalaman membeli-belah digital kepada pengunjung serta pengguna pengangkutan awam.



