SAMBUTAN MINGGU ARKIB ANTARABANGSA 2025 :“ARKIB BOLEH DIAKSES, ARKIB UNTUK SEMUA”

Kementerian Perpaduan Negara mengucapkan Selamat Menyambut
Minggu Arkib Antarabangsa 2025 kepada seluruh warga arkib, para penyelidik, penjawat awam dan rakyat Malaysia yang menghargai
warisan dokumentasi negara.
Arkib Negara Malaysia (ANM) merupakan ahli aktif berstatus Institutional Member (Kategori A) dalam International Council on Archives (ICA).

Penyertaan ANM dalam organisasi antarabangsa ini telah menjadikan
ANM sebagai sebuah institusi kearkiban yang mempunyai jaringan antarabangsa bagi berkongsi dan membincangkan hal ehwal kearkiban secara kolektif di perigkat global.
Sambutan ini bukan sahaja meraikan jasa dan komitmen warga arkib, tetapi juga mengajak seluruh rakyat mendekati khazanah sejarah negara yang menjadi teras kepada jati diri dan perpaduan nasional.
Tema sambutan tahun ini, “Arkib Boleh Diakses, Arkib Untuk Semua”,
sangat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan
sejarah dan dokumen negara dapat diakses dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata “Arkib
ialah penjaga memori bangsa. Ia bukan hanya menyimpan sejarah negara, malah menyatukan naratif semua komuniti di Malaysia daripada perjuangan kemerdekaan, pembinaan negara, sehingga kepada usaha
memperkukuh integrasi nasional hari ini. Tanpa arkib, sejarah akan hilang, identiti akan kabur, dan perpaduan akan pudar. Justeru, kita mesti terus menyokong institusi arkib dan memperkasakan nilai sejarah
sebagai milik semua”.