Yayasan Inovasi Malaysia Sokong Pelajar Komersialkan Inovasi Melalui Pertandingan MyIS Apprentice

KUALA LUMPUR – Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terus memperkukuhkan usaha membangunkan inovasi akar umbi dan inovasi sosial di negara ini melalui pelbagai program, termasuk pertandingan MyIS Apprentice.


Menurut Presiden YIM, Dr Sharmila Mohamed Salleh. Pertandingan MyIS Apprentice memberi peluang kepada pelajar universiti mempersembahkan projek akhir tahun mereka. Projek-projek ini biasanya disimpan sepanjang tempoh pengajian, namun melalui pertandingan ini, YIM membantu pelajar membawa inovasi tersebut ke tahap komersialisasi yang sebenar.


“Melalui MyIS Apprentice, kami tidak hanya mahu pelajar menyiapkan projek sebagai tugasan akademik semata-mata, tetapi kami memberi sokongan agar projek tersebut boleh dibangunkan menjadi produk atau perkhidmatan yang berdaya saing di pasaran,” jelas – Dr Sharmila Mohamed Salleh
Program ini turut menawarkan bantuan dalam bentuk dana pembangunan inovasi serta bimbingan teknikal bagi memastikan inovasi yang dihasilkan mencapai tahap kesiapsiagaan teknologi (Technology Readiness Level) yang tinggi sehingga boleh dipasarkan.


Selain itu, YIM juga membantu para inovator individu yang mungkin menghadapi kesukaran membawa inovasi mereka ke tahap komersial. “Ramai yang menghasilkan inovasi kecil-kecilan tetapi tidak tahu bagaimana untuk menembusi pasaran. Kami beri sokongan bermula dari prototaip hingga pra-komersialisasi,” tambah beliau.
Sebagai tambahan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Yayasan Inovasi Malaysia juga menjalankan Program MyIS Akar Umbi / MaGRIs yang bertujuan mempertingkatkan pembangunan inovasi akar umbi yang berpotensi di Malaysia.


Rebut peluang untuk memenangi Geran Pembangunan Inovasi bernilai sehingga RM50,000. Penyertaan program ini dibuka dari 1 Mei 2025 hingga 31 Mei 2025, dengan lanjutan tempoh sehingga 15 Jun 2025. Penyertaan adalah percuma, dan pemohon yang disenarai pendek akan dijemput membuat pembentangan kepada panel juri.
“Program ini terbuka kepada semua yang mempunyai inovasi berpotensi dari segi sains, teknologi dan ekonomi yang boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan akar umbi di negara ini,” -CEO – Dr Sharmila Mohamed Salleh
Dalam usaha memulihkan ekosistem biodiversiti, YIM turut mengambil bahagian dalam projek terbaru iaitu pelepasan juvenile gamat emas di Langkawi, yang telah pupus di kawasan tersebut. Kerjasama erat dilakukan bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan universiti seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memastikan kejayaan program ini.
“Gamat emas adalah spesies unik yang hanya terdapat di perairan Malaysia. Projek ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan semula populasi gamat tetapi juga berpotensi menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui produk kolagen yang dihasilkan,” -Dr Sharmila Mohamed Salleh
YIM menjelaskan bahawa inovasi akar umbi yang dibangunkan oleh komuniti tempatan sering menghadapi cabaran dalam mengkomersialkan produk mereka. Dengan sokongan YIM, para inovator ini dapat melihat peluang yang lebih luas dan menyasarkan pasaran di peringkat lebih besar.
“Misalnya, isu warga tua yang semakin meningkat dan memberi tekanan kepada kerajaan, memerlukan penyelesaian teknologi yang dapat membantu kehidupan serta ekonomi golongan ini. YIM sedang mencari solusi inovasi yang sesuai untuk kegunaan warga emas melalui program Golden STI yang bakal dilancarkan,” – Dr Sharmila Mohamed Salleh
Sejak penubuhannya pada tahun 2008, YIM telah membiayai lebih daripada 220 projek inovasi dengan pelbagai impak positif. “Satu projek penghasilan cendawan di Kelantan telah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada 40 orang dan mendapat pulangan pelaburan sebanyak RM3.6 juta daripada dana awal RM300,000,” jelas – Dr Sharmila Mohamed Salleh
Melalui program dan inisiatif seperti MyIS Apprentice dan MyIS Akar Umbi, Yayasan Inovasi Malaysia berharap dapat memupuk lebih ramai usahawan teknologi muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negara.
Untuk keterangan lanjut dan permohonan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Yayasan Inovasi Malaysia di www.yim.my.