Seminar Pendidikan RPT 2024 didik pelajar siap siaga menempuh dunia kerjaya, motivasi & dan kesedaran sivik

  • January 9, 2024
  • 4 min read
Seminar Pendidikan RPT 2024 didik pelajar siap siaga menempuh dunia kerjaya, motivasi & dan kesedaran sivik

Rajayoga Power Trranscendental Meditation Society (RPT) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan pada tahun 1996 oleh YBhg Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan dan YBhg Datin Sri Sundari Balakrishnan meneruskan program khidmat masyarakat bersama orang ramai dengan menganjurkan Seminar Pendidikan RPT 2024.

Program kali ini berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan tema ‘Education Beyond Books’. Objektif program ini ialah membimbing para pelajar ke arah melahirkan generasi muda yang kompeten dari segi akademik, emosi, rohani dan kemahiran sosial.

Seminar Pendidikan RPT 2024 merupakan program tahunan RPT yang dianjurkan secara percuma kepada golongan remaja dan kali terakhir dianjurkan pada tahun 2019 sebelum bermula pandemik COVID 19.

Sasaran program kali ini untuk remaja berusia 15 hingga 24 tahun terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 dan 4 serta pelajar pra-universiti, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Pengasas dan Presiden RPT, YBhg Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan berkongsi kata-kata
semangat kepada para pelajar disusuli pelbagai pengisian menarik yang interaktif di mana pelajar dibimbing dengan teknik pembelajaran yang efektif di samping memberi tunjuk ajar dalam pemilihan laluan kerjaya.

“Sesi perkongsian ‘Success Stories’ oleh orang-orang ternama dari pelbagai jurusan turut dimuatkan sebagai slot motivasi bagi menaikkan semangat para pelajar untuk menjadi insan yang berjaya,” katanya.

Seminar Pendidikan RPT 2024 turut menyaksikan kerjasama RPT dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di mana pelajar-pelajar Tingakatan 3 dan 4
didedahkan kepada program remaja LPPKN iaitu KafeTEEN melalui sesi ceramah dan sesi interaktif dalam trak KafeTEEN, dengan harapan para pelajar ini mendapat manfaat daripada aktiviti KafeTEEN yang dituju khas kepada golongan remaja zaman sekarang.

Bagi remaja pra-universiti, IPTA dan IPTS pula, mereka didedahkan kesedaran tanggungjawab sivik di mana mereka dibimbing menyumbangkan idea-idea untuk Projek Remaja RPT yang
dijadikan asas untuk program khidmat masyarakat RPT pada masa hadapan yang akan dikendalikan oleh para remaja RPT di bawah seliaan sukarelawan RPT.

Setiap pelajar yang menghadiri Seminar Pendidikan RPT 2024 dengan jayanya menerima Sijil Penyertaan daripada YBhg Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan.

Seminar ini dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan RPT dari pelbagai jurusan yang cemerlang dalam kerjaya masing-masing. Sukarelawan ini mengambil peluang membimbing pelajar-pelajar ke arah melahirkan generasi berilmu, bijak dan berakhlak. Kesemua pelajar yang menghadiri seminar ini juga dibimbing secara berterusan oleh sukarelawan RPT untuk pasca seminar.

Seminar Pendidkan RPT 2024 turut dihadiri Pengarah Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), YBrs Professor Madya Dr. Farazila Yusof mewakili Timbalan Naib Canselor. Dr. Farazila dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada YBhg Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan dan YBhg Datin Sri Sundari Balakrishnan di atas usaha murni RPT dalam melahirkan generasi muda yang terdidik (‘educated’) dan sihat minda serta berakhlak.

Menjadi harapan YBhg Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan dan YBhg Datin Sri Sundari
Balakrishnan agar di samping bimbingan akademik diterima pelajar, mereka turut didedahkan kepada pelbagai ilmu di luar kandungan buku yang akan dapat membantu mereka mencapai impian ke arah menjadi pelajar yang cemerlang, pintar dan terbaik.

LATAR BELAKANG RPT
Rajayoga Power Trranscendental Meditation Society (RPT) menjalankan pelbagai program khidmat masyarakat secara percuma kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia sejak tahun 2007 di bawah naungan YBhg Datin Sri Sundari Balakrishnan, sejajar dengan cogan kata RPT ‘Making Others Happy’.

Di antara program khidmat masyarakat yang dijalankan meliputi aktiviti memupuk kesedaran jagaan kesihatan, bimbingan pendidikan dan pelbagai bantuan kemanusiaan.

Program khidmat masyarakat RPT pernah mencipta rekod Malaysia Book of Records sebanyak 2 kali.

RPT turut berganding bahu dengan agensi kerajaan dari masa ke semasa dalam menjalankan program khidmat masyarakat kepada kumpulan sasar yang memerlukan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebagai pengiktirafan daripada pihak kerajaan, buat julung kalinya RPT menerima jemputan khas menyertai Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 dianjurkan LPPKN di bawah KPWKM pada 4 November 2023 bertempat di Dataran Putrajaya.

Pada majlis sambutan tersebut disertai pelbagai agensi kerajaan, RPT diberi pengiktirafan sebagai salah satu daripada tiga NGO terpilih untuk mempamer perkhidmatan kepada orang awam dan
terlibat sama dalam menyediakan aktiviti kekeluargaan bagi memeriahkan sambutan tersebut.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung itu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut berkunjung ke reruai pameran RPT sambil beramah mesra dengan para sukarelawan RPT serta mengucapkan syabas kepada RPT.

Perdana Menteri juga berkesempatan menandatangani Buku Pelawat RPT yang merupakan suatu pengiktirafan terunggul bagi RPT daripada Kerajaan Malaysia. Pada sambutan ini juga, pelbagai agensi kerajaan menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama pintar dengan RPT dalam program-program khidmat masyarakat.

YBhg Dato’ Sri Dr. V. Balakrishnan dan YBhg Datin Sri Sundari Balakrishnan amat komited meneruskan aktiviti khidmat masyarakat kepada golongan memerlukan dan sentiasa bersedia berganding bahu dengan kerajaan menangani isu-isu dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Dr Komathy di talian 016-6151042

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *