‘Sentiasa menyokong program yang memberi manfaat kepada masyarakat, terus berkembang setiap tahun’.- PRESMA

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Dato’ Jawahar Ali, menzahirkan penghargaan atas kejayaan penganjuran program bantuan Hari Raya anjuran Ehsan Group of Companies dan Dato’ Abdul Hamid PB. Program kebajikan tahunan ini kini memasuki edisi ke-32 sejak diperkenalkan pada tahun 1993.

Menurut Dato’ Jawahar Ali, inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan, malah terus berkembang setiap tahun. Program bantuan ini dijalankan di tujuh hingga lapan negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan, dengan sambutan yang amat menggalakkan.

“Dato’ Abdul Hamid PB juga memainkan peranan penting dalam usaha kebajikan ini. Beliau bukan sahaja menggerakkan program tahunan ini tetapi turut terlibat dalam pembangunan komuniti, termasuk pembinaan Masjid India Kajang. Tanah untuk masjid ini diperoleh hasil usaha beliau, membolehkan masyarakat setempat menjalankan solat Jumaat serta aktiviti keagamaan lain,” katanya.
Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat terus dilaksanakan dan berkembang di masa hadapan, sekali gus memberikan manfaat yang lebih besar kepada golongan yang memerlukan.

“Kita memohon kepada Allah agar dipermudahkan rezeki supaya dapat meneruskan usaha ini dengan lebih semangat pada tahun-tahun mendatang,” tambahnya.
Program bantuan ini terus menjadi simbol kepedulian dan tanggungjawab sosial dalam membantu masyarakat, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.