Majlis Belia Negeri Selangor Anjur Iftar Perpaduan dan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi

  • March 17, 2025
  • 3 min read
Majlis Belia Negeri Selangor Anjur Iftar Perpaduan dan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi

Selangor, 16 Mac 2025 – Majlis Belia Selangor (MBS) telah menganjurkan Majlis Iftar Perpaduan yang menghimpunkan kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM), agensi kerajaan dan rakan strategik bagi memperkukuhkan hubungan serta membincangkan hala tuju belia negeri.

Majlis ini turut dihadiri oleh Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid serta wakil-wakil daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor, dan beberapa agensi lain.

Presiden MBS, YB Dato’ Mohd Imran bin Tamrin, dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini bukan sekadar iftar, tetapi juga platform untuk membincangkan isu-isu belia dan strategi pembangunan generasi muda.

Fokus Kepimpinan Transisi Menjelang Akta 668

Selain majlis berbuka puasa, satu Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi turut diadakan bagi membincangkan beberapa perkara utama berkaitan hala tuju MBS. Antara fokus utama adalah persediaan transisi kepimpinan menjelang penguatkuasaan Akta 668, yang akan menetapkan had umur belia di bawah 30 tahun mulai Januari 2026.

Dalam mesyuarat itu, MBS juga mengesahkan Resolusi Langkawi 2025, yang mengandungi enam tunjang utama bagi memperkasakan pembangunan belia di Selangor. Resolusi ini bertujuan untuk menyediakan platform lebih luas bagi anak muda untuk menyertai pertubuhan belia dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Pemerkasaan Kepimpinan Belia Wanita

MBNS turut menekankan keperluan memperkukuhkan penglibatan belia wanita dalam kepimpinan organisasi belia, dengan sasaran sekurang-kurangnya 30% penyertaan wanita dalam kepimpinan MBS. Langkah ini bertujuan memastikan suara dan aspirasi wanita muda turut diangkat dalam kepimpinan belia negeri.

Pelancaran Klinik Guaman MBS

Satu inisiatif baharu yang diumumkan dalam mesyuarat ini adalah pelancaran Klinik Guaman MBS, yang akan dikendalikan oleh Biro Perundangan MBS. Klinik ini diwujudkan bagi memberikan kesedaran, advokasi, serta akses kepada khidmat nasihat perundangan khususnya kepada anak muda di Selangor.

Untuk memastikan keberkesanan inisiatif ini, MBS akan bekerjasama dengan Malaysian Bar, Selangor Bar Committee, serta beberapa institusi pengajian tinggi seperti UiTM, UIA, UM, dan UKM, yang mempunyai pusat bantuan guaman sendiri.

Hari Belia Negara Peringkat Selangor dan Program Tahunan

Antara ketetapan lain yang diputuskan dalam mesyuarat ini adalah penganjuran Hari Belia Negara Peringkat Selangor pada 17 dan 18 Mei di daerah Telang, yang bakal dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

Selain itu, MBS juga akan menyelaras beberapa program tahunan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, MBM, serta Pejabat EXCO Belia dan Sukan Negeri Selangor di bawah pimpinan YB Saudara Najuan. Program-program ini akan merangkumi pelbagai aspek seperti kebajikan, pembangunan sosial, ekonomi, serta aktiviti yang lebih mendekati golongan belia.

Seruan Memelihara Perpaduan dan Menolak Provokasi

MBS turut menegaskan kepentingan perpaduan dan keharmonian kaum, khususnya di kalangan generasi muda. MBS menyeru golongan belia untuk menolak sebarang bentuk provokasi, serta menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain.

Selain itu, MBS menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap mana-mana pihak yang menghina agama, termasuk insiden terbaru yang melibatkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh seorang individu bernama Trisha Yap, serta beberapa selebriti yang didakwa mempersendakan agama Hindu. MBS berharap agar golongan muda tidak mudah terpengaruh dengan sentimen negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu.

MBS Komited Menjadi Jurubicara Belia Selangor

“Matlamat kami adalah untuk memahami serta menyampaikan keperluan dan kehendak anak muda secara langsung kepada kerajaan. MBNS berperanan sebagai penghubung strategik (strategic enabler) dalam membentuk dasar yang lebih inklusif untuk belia di negeri ini,” katanya.

Presiden MBS menegaskan bahawa MBS akan terus menjadi suara dan jurubicara belia Selangor, memastikan setiap isu yang dihadapi oleh anak muda diberi perhatian oleh kerajaan negeri serta pihak berkepentingan.

Dengan pelbagai inisiatif dan program yang dirancang, MBS yakin bahawa belia Selangor akan terus menjadi generasi yang berdaya saing, progresif, serta bersatu padu dalam pembangunan negeri dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *