Sumbangan wang ringgit atau barangan asas menjelang aidilfitri adalah manifestasi koperasi.

  • April 29, 2022
  • 2 min read
Sumbangan wang ringgit atau barangan asas menjelang aidilfitri adalah manifestasi koperasi.

Ucapan Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato’ Haji Ahmad Darus pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Asnaf anjuran Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Pulau Pinang. Menurutnya

Identiti koperasi sebagai antara wadah yang terbaik untuk memberi manfaat kepada anggota koperasi dan masyarakat perlu diterjemahkan sebaik mungkin.

Justeru, sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau barangan asas daripada koperasi kepada golongan yang memerlukan menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri adalah manifestasi koperasi yang cakna dengan keperluan dan kesejahteraan rakyat.

Majlis yang telah diadakan di perkarangan pejabat JPAN hari ini (28 April 2022) turut dihadiri oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang, Puan Norlelah Samsudin dan Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Utara, Puan Hajah Yusnita Othman.

Pada majlis yang sama seramai 10 orang anak yatim daripada keluarga asnaf di sekitar Butterworth dan seramai 20 orang ibu tunggal telah menerima sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan persiapan menyambut Aidilfitri.

Dato’ Haji Ahmad turut memuji usaha JPAN Pulau Pinang yang berjaya mengumpul peruntukan sumbangan daripada koperasi dan individu untuk membantu anak yatim dan golongan ibu tunggal.

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah berkata, ANGKASA sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bagi memastikan keperluan ahli dan masyarakat sedikit sebanyak dapat dibantu.

“ANGKASA menyantuni golongan kurang bernasib baik dengan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sama ada secara sendiri atau bekerjasama dengan agensi-agensi luar seperti badan kerajaan, badan berkanun, syarikat korporat, institusi pendidikan, NGO dan lain-lain,” ujar beliau.

Pengerusi JPAN Pulau Pinang, Haji Mohd. Jamil Othman berkata pihaknya akan memulakan projek tanaman rock melon secara kaedah fertigasi di Ara Kuda pada bulan Mei ini yang melibatkan lima buah koperasi dan akan membuka sebuah pusat pengedaran pada bulan yang sama dengan kerjasama SKM Cawangan Negeri Pulau Pinang.

Hadir sama ke majlis ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Anggota-Anggota Lembaga ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd. Shukree Che Isa dan Dr. Haji Mohd Azlan Yahya.

Turut hadir ialah Pengerusi JPAN Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh; Pengerusi JPAN Perlis, Haji Salimi Shari; Penasihat Korporat ANGKASA, Dato’ Ahmad Jamil Hashim dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *