SYARIKAT PENGELUAR MAKANAN BERASASKAN SOYA DARI JEPUN TEROKA PELUANG KERJASAMA DENGAN ANGKASA

  • May 19, 2023
  • 2 min read
SYARIKAT PENGELUAR MAKANAN BERASASKAN SOYA DARI JEPUN TEROKA PELUANG KERJASAMA DENGAN ANGKASA

Future Foods Berhad yang berpangkalan di Tokyo, Jepun telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat ANGKASA di Kelana Jaya pada 15 Mei 2023 bagi membincangkan peluang kerjasama dalam sektor makanan sihat berasaskan soya.

Lawatan delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Future Foods Berhad, Mr. Daisaku Misaka itu bertujuan untuk mencari rakan strategik bagi memasarkan produk-produk mereka.

Sebuah kertas kerja tentang pelan perniagaan mereka telah dibentangkan dalam pertemuan tersebut.

“Produk-produk kami adalah 100 peratus berasaskan tanaman dan berpotensi untuk dipasarkan sebagai makanan halal di serata dunia. Kami juga melihat ANGKASA sebagai badan puncak koperasi yang mampu menjadi pengantara kepada gerakan koperasi di negara ini untuk mengambil peluang menceburkan diri dalam bidang perniagaan berimpak tinggi,” katanya.

Ujarnya lagi, produk berasaskan soya yang dihasilkan syarikat mereka mempunyai pelbagai khasiat, mudah disediakan serta mampu menjadi alternatif kepada makanan berasaskan beras, gandum, jagung dan sebagainya.

“Kami akan menyediakan segala teknologi yang diperlukan dan rakan strategik boleh memilih sama ada mahu mengimport terus produk dari Jepun atau menubuhkan kilang di sini berserta tanaman soya sekali yang bertujuan untuk menjimatkan kos logistik.

Produk akhir yang dihasilkan atau lebih dikenali sebagai Pengilang Peralatan Asal (OEM) boleh dijenamakan semula mengikut kesesuaian rakan strategik,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya akan meneliti secara terperinci terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan dan jika kerjasama tersebut terjadi, peranan Presiden ANGKASA yang juga Presiden ASEAN Co-Operative Organization (ACO) pastinya bernilai dalam usaha untuk memasarkan produk tersebut ke negara-negara Asia Tenggara.

Hadir sama dalam perjumpaan tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Strategik ANGKASA, Encik Mohd Ismail Ibrahim merangkap Ketua Pegawai Kewangan, Pengurus Besar Bahagian Perniagaan ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd. Jalil dan Pengurus Sektor Pemborongan dan Peruncitan ANGKASA, Puan Norlaili Mohammed Yatin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *