PETALING JAYA – Industri pelancongan Malaysia bakal menyaksikan satu detik bersejarah apabila Tourism Industry Awards 2026 (TIA 2026) dianjurkan sebagai platform pengiktirafan tertinggi bagi menghargai kecemerlangan, inovasi dan sumbangan luar biasa penggiat pelancongan tanah air.

Kemuncak penganjuran TIA 2026 ialah Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah yang akan berlangsung pada 8 Ogos 2026 bertempat di Sunway Resort Hotel, Selangor, sekali gus menjadi medan pertemuan tokoh-tokoh penting industri dari dalam dan luar negara.
Program berprestij ini dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) dan Santai Travel, dengan kerjasama strategik Tourism Selangor, bagi mengiktiraf organisasi, destinasi, produk serta individu yang telah memberi impak besar dalam memacu pertumbuhan dan daya saing industri pelancongan negara.


Menurut Dato’ Noor Zaleha Baharuddin, Pengerusi Penganjur TIA 2026, anugerah ini bukan sekadar majlis penyampaian trofi, sebaliknya menjadi simbol penghormatan kepada seluruh ekosistem pelancongan Malaysia.
“TIA 2026 merupakan platform berprestij yang mengangkat kecemerlangan, inovasi dan komitmen luar biasa para penggiat industri merangkumi sektor hospitaliti, acara perniagaan, pelancongan domestik dan antarabangsa serta keseluruhan rantaian sokongan industri,” katanya.
Beliau turut menjemput semua pemain industri, sama ada dari sektor awam atau swasta, untuk tampil merebut peluang menyertai TIA 2026.
“Penyertaan bukan sahaja membawa pengiktirafan, malah menjadi penanda aras profesionalisme dan kredibiliti organisasi di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dalam tahun bermakna bersempena Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026),” tambah beliau.
Majlis ini dijangka menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, agensi kerajaan, pemain sektor swasta, persatuan pelancongan serta tetamu kehormat antarabangsa, selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Antara kategori anugerah yang dipertandingkan merangkumi sektor penginapan, hospitaliti, pelancongan destinasi, acara perniagaan, pengangkutan pelancong, pemasaran dan promosi, pelancongan mampan, pelancongan komuniti, selain pengiktirafan khas kepada individu serta organisasi berimpak tinggi.
Bagi tahun ini, TIA 2026 sekali lagi berkolaborasi buat kali kedua bersama Tourism Selangor sebagai rakan strategik rasmi, manakala Sunway Resort Hotel dipilih semula sebagai Hotel Rasmi TIA 2026, mencerminkan kepercayaan dan komitmen terhadap kecemerlangan industri.
Kolaborasi ini melambangkan sinergi kukuh antara pemain industri dalam memperkukuh kedudukan Selangor dan Malaysia sebagai destinasi pilihan global.
TIA 2026 menampilkan pendekatan pengiktirafan menyeluruh meliputi hotel dan resort, pusat beli-belah, syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, pihak berkuasa tempatan, organisasi pelancongan negeri, sektor kesihatan dan kesejahteraan, spa serta pelbagai lagi kategori dalam ekosistem pelancongan.
Lebih daripada sebuah anugerah, TIA 2026 menjadi lambang ketahanan, keberanian berinovasi dan semangat kolaborasi industri pelancongan Malaysia untuk terus kekal relevan, mampan dan berdaya saing di persada antarabangsa.
Sehubungan itu, semua pemain industri – besar atau kecil, lama atau baharu – dijemput menyertai dan menjadi sebahagian daripada pengiktirafan paling berprestij dalam landskap pelancongan negara.



