KAMPAR, 11 April 2026 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkukuh peranan sebagai pemacu kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Kota Bharu, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, dengan kehadiran kira-kira 600 tetamu terdiri daripada penduduk setempat, warga sekolah serta rakan strategik pelbagai agensi kerajaan.

Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 2024 itu merupakan pendekatan proaktif kerajaan dalam memastikan dasar yang dirangka di peringkat pusat diterjemah secara berkesan di lapangan, khususnya dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar secara inklusif.
Peruntukan RM600,000 Untuk Lapan Projek Fizikal
Sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program berkenaan, melibatkan RM500,000 di bawah komponen Kampung Angkat MADANI (KAM) dan RM100,000 bagi Sekolah Angkat MADANI (SAM).
Menurut Tan Sri Wan Ahmad Dahlan, peruntukan di bawah KAM akan dimanfaatkan melalui pelaksanaan lapan projek fizikal berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada kehidupan harian penduduk.
“Melalui Program Kampung Angkat MADANI 2026, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 khusus untuk kampung ini. Kami mahu penduduk melihat perubahan nyata dengan pelaksanaan lapan projek fizikal yang memberi manfaat langsung kepada komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Senarai Projek Fizikal Yang Akan Dilaksanakan
Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk:
· Menaik taraf dan baik pulih balai raya serta masjid bagi meningkatkan keselesaan penduduk untuk berkumpul dan beribadah
· Menaik taraf balai polis serta pemasangan lampu solar di lorong-lorong gelap bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam
· Menaik taraf klinik kesihatan sedia ada agar lebih kondusif kepada warga emas dan kanak-kanak
· Menaik taraf gelanggang pelbagai guna bagi menyediakan kemudahan riadah yang lebih baik kepada golongan belia
· Pembinaan mercu tanda kampung serta naik taraf astaka Sekolah Kebangsaan Kota Bharu sebagai simbol kemajuan pendidikan dan identiti komuniti setempat
Fokus Perkasa Pendidikan Menerusi SAM
Dalam pada itu, komponen Sekolah Angkat MADANI (SAM) pula memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendidikan melalui naik taraf makmal sains, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), serta pembekalan komputer bagi menyokong pembelajaran abad ke-21.
Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menegaskan bahawa program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan perkhidmatan awam dalam memastikan setiap dasar kerajaan bukan sahaja dirancang, tetapi dilaksanakan secara berkesan dan dirasai di peringkat akar umbi.
Program Ziarah Cakna Sentuhan Kasih
Program berkenaan turut disusuli dengan Program Ziarah Cakna Sentuhan Kasih bagi menyantuni pesara kerajaan di kampung berkenaan.
Ziarah itu melibatkan empat orang pesara yang memerlukan sokongan, termasuk bantuan keperluan asas dan peralatan mobiliti seperti kerusi roda serta bantuan kebajikan lain sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada perkhidmatan awam.
Turut Hadir
Hadir sama, Puan Sri Dr. Azlifah binti Bahari, isteri kepada KPPA merangkap Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil JPA; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isterinya, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-undang Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); Ir. Haji Zamri bin Mat Kasim, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak; Encik Ahmad Suqairy bin Alias, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar serta pegawai-pegawai daerah. — JPA



