SUNGAI PETANI: Kedai Emas Sri Semantan (KESS) terus memperkukuhkan rangkaian perniagaannya apabila membuka cawangan ke-18 di Sungai Petani yang dijadikan hab operasi bagi wilayah utara.
Pengerusi Emas Sri Semantan Sdn Bhd, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, pembukaan cawangan di Sungai Petani adalah sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat sebelum membuka dua lagi cawangan di Senawang dan Pasir Gudang dalam masa terdekat.


Katanya, syarikat turut merancang membuka sebuah lagi cawangan di Alor Setar bagi melengkapkan rangkaian operasi di Kedah.
“Pembukaan di Sungai Petani ini kita jadikan sebagai wisma atau hab bagi kawasan utara. Selepas ini, insya Allah kita akan membuka cawangan di Alor Setar.


“Dalam masa sama, kita akan meneruskan sasaran membuka 30 cawangan di seluruh negara sebelum mengembangkan perniagaan ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian cawangan di Jalan Bintang Ria, di sini, semalam.
Majlis perasmian cawangan baharu itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar.
Mohamad Hafizal berkata, sasaran asal untuk mencapai 30 cawangan adalah dalam tempoh beberapa tahun, namun sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan sehingga mempercepatkan perkembangan syarikat.


Katanya, sambutan terhadap cawangan Sungai Petani juga melebihi sasaran ditetapkan apabila prestasi jualan sejak hari pertama operasi mengatasi petunjuk prestasi utama (KPI) syarikat.
Ketika diminta dakwaan terdapat skim pelaburan di kedai emas berkenaan, Mohamad Hafizal berkata syarikat itu tidak menawarkan skim pelaburan emas sebaliknya hanya menjalankan urus niaga jual beli emas serta menyediakan latihan kepada pelanggan mengenai kaedah penyimpanan emas yang betul.
“Kami tidak pernah menggunakan istilah pelaburan emas. Fokus kami hanya kepada jual beli emas dan memberi pendidikan kepada pelanggan supaya mereka memahami cara menyimpan emas dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, syarikat kini mempunyai kira-kira 180,000 ahli di seluruh negara yang menikmati pelbagai keistimewaan menerusi program kesetiaan pelanggan.
Katanya, keahlian adalah percuma dan setiap ahli menerima emas seberat 0.1 gram sebagai ganjaran pendaftaran selain mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus kepada baucar atau emas.
“Melalui program ini, pelanggan turut memperoleh mata ganjaran apabila memperkenalkan pelanggan baharu.
“Mata terkumpul itu boleh ditebus untuk mendapatkan baucar atau emas secara percuma mengikut nilai yang diperoleh,” katanya.
Menurut Hafizal, KESS juga bakal KESS Bike bagi menggalakkan anak muda membeli dan menyimpan emas.
“Selain itu, juga bakal lebarkan perniagaan di luar negara selepas berjaya mencapai target membuka30 cawangan KESS di seluruh negara.”
Katanya lagi, kini emas digital lebih mendapat sambutan dengan jualan melebihi 1 juta dalam tempoh sebulan setengah sahaja.”
KESS yang bermula di Temerloh, Pahang dengan kedai kecil dan jualan emas prelove mulut ke mulut sehingga berjaya sehingga kini.
“Kajian dua tahun lepas menunjukkan jualan emas prelove setahun 200 kg dan negeri Kelantan merupakan penyumbang terbesar dengan 50kg setahun.”
Sementara Baddrol dalam ucapannya berkata, usaha Emas Sri Semantan membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara mampu merancakkan ekonomi tempatan serta memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat khususnya Bumiputera untuk memiliki aset emas sebagai simpanan bernilai.
Beliau berkata, perkembangan syarikat itu juga membuktikan industri emas tempatan masih mempunyai potensi besar untuk terus berkembang pada masa depan.



