MARAN – Kerajaan akan meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA dalam usaha menyelesaikan isu perumahan generasi baharu yang sekian lama berlarutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sudah diarahkan menyediakan draf pindaan akta itu dalam tempoh dua bulan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen tahun ini.

Menurutnya, pindaan itu adalah antara lima inisiatif strategik bagi menangani isu legasi perumahan generasi kedua peneroka.
“Kerajaan amat memahami kegelisahan generasi baharu FELDA berhubung isu perumahan, khususnya melibatkan konsep pembinaan Dua Rumah di atas Satu Lot (2R1L),” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Anwar berkata, sementara menunggu pindaan akta diluluskan, kerajaan akan melaksanakan proses pemutihan serta-merta terhadap kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina dan diduduki sehingga 31 Disember 2025 dengan membenarkan penyambungan bekalan utiliti.
“Sekarang ini, lebih kurang 8,000 unit rumah telah disiap dibina, yang telah diduduki sejak 31 Disember 2025… sementara kita hendak luluskan akta itu dan sebagainya, kita salurkan serta-merta utiliti air dan elektrik, segera,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa penyediaan bekalan air akan diselaraskan oleh kerajaan negeri manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diarahkan mempercepatkan pemasangan bekalan elektrik ke semua rumah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan baharu selepas tarikh itu perlu menunggu pindaan akta dimuktamadkan bagi memastikan hak pemilikan tanah lebih tersusun dan terjamin pada masa depan.
Mengulas mengenai Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), Anwar berkata, projek yang bermula sejak 2013 itu melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah di tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Daripada jumlah itu, 12 tapak merangkumi 2,458 unit telah siap dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), manakala 13 tapak membabitkan 2,546 unit masih dalam pembinaan.
Beliau berkata, projek yang masih berjalan akan disiapkan secara berfasa sehingga 2030 melibatkan beberapa lokasi termasuk Besout di Perak, Sungai Koyan dan Sungai Tekam di Pahang, Pasoh, Bukit Jalor, Palong 8 serta Bukit Rokan Utara di Negeri Sembilan, selain Maokil dan Papan Timur di Johor serta Kerteh 5 di Terengganu.
“Sebahagian projek ini mula dibina pada tahun 2013. Kelewatan ini disebabkan oleh perancangan yang tidak teratur, isu pemantauan yang kurang berkesan dan pengurusan projek pada ketika itu yang lemah. Saya harap Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat utiliti berkaitan dapat membantu FELDA supaya semua projek ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.
Bagi memastikan projek perumahan terbengkalai dapat diteruskan, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan RM150 juta untuk menyiapkan 554 unit rumah di Bukit Aping Timur dan Pasak di Johor serta Kerteh 5 di Terengganu.
Menurutnya, keperluan menyiapkan semua unit itu amat kritikal bagi memenuhi permintaan generasi baharu FELDA.
Selain itu, beliau turut mengumumkan tambahan RM20 juta bagi menyiapkan Projek Sentuhan Kasih FELDA (SKF) di Laka Selatan, Kedah dan Palong 16, Negeri Sembilan yang kini berdepan kekurangan peruntukan walaupun kemajuan pembinaannya sudah mencapai antara 60 hingga 70 peratus.
“Dengan ini, saya meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi menyiapkan projek ini. Ini semua saya lakukan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan Generasi Baharu FELDA terbela,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada isu Lot Generasi FELDA apabila sebanyak 31,954 lot dikenal pasti memerlukan tindakan segera, termasuk di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kerajaan negeri bagi mempercepatkan proses pemberimilikan lot dan penyediaan infrastruktur.
“Perkara ini juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang akan datang,” katanya sambil memaklumkan mesyuarat khas itu dijadual berlangsung pada Ogos depan bagi membincangkan Akta Tanah serta isu pembinaan rumah generasi kedua FELDA dengan kerjasama semua kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM450 juta bagi tempoh tiga tahun untuk membiayai kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah petugas FELDA di seluruh tanah rancangan sebagai menghargai jasa kakitangan yang berkhidmat kepada warga peneroka.
“Kerajaan MADANI komited memastikan segala isu legasi FELDA diselesaikan secara menyeluruh melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, FELDA serta agensi berkaitan supaya kebajikan peneroka, generasi baharu dan petugas FELDA terus terpelihara,” katanya.



