COVID-19: Kes baharu turun sedikit berbanding minggu lepas – Dr Noor Hisham
![COVID-19: Kes baharu turun sedikit berbanding minggu lepas – Dr Noor Hisham](https://utvmediamalaysia.com/wp-content/uploads/2022/09/IMG-20220919-WA0033.jpg)
KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,627 kes baharu COVID-19 direkodkan bagi Minggu Epidemiologi ke-37 (ME 37/2022) dari 11 hingga 17 Sept berbanding 14,072 kes pada ME36/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata jumlah kes baharu berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 3.2 peratus.
“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 37/2022 adalah 26,378 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4.1 peratus berbanding minggu sebelumnya,” ujar beliau dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 hari ini.
Jelas beliau, 31 kes kematian yang direkodkan pada ME 37/2022 juga menunjukkan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding 34 kes pada minggu sebelumnya.
Manakala bilangan kes sembuh pula turun sebanyak 16 peratus dengan 14,513 kes itu direkodkan bagi ME 37/2022 berbanding 17,286 kes pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 37/2022 pula menunjukkan penurunan 6.7 peratus bagi pesakit kategori 1 dan 2, manakala tiada perubahan untuk pesakit kategori 3, 4, dan 5.
“Bagi peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19, menunjukkan penurunan satu peratus bagi katil bukan kritikal manakala katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing turun dua peratus.
“Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula menunjukkan tiada perubahan,” ujar beliau.
Menurut Dr Noor Hisham, jumlah kes positif yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menurun.
Mengenai Nilai RT atau kadar kebolehjangkitan, terdapat peningkatan kepada 0.96 pada ME 37/2022 berbanding 0.92 pada minggu sebelumnya.