GALAKKAN PEMBELAJARAN AKTIF MURID MELALUI AKTIVITI KOPERASI SEKOLAH

  • January 6, 2024
  • 2 min read
GALAKKAN PEMBELAJARAN AKTIF MURID MELALUI AKTIVITI KOPERASI SEKOLAH

ANGKASA menggalakkan pembelajaran aktif murid dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti menerusi koperasi sekolah yang mampu memenuhi keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi sekolah telah berkembang hingga mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah mengiktiraf kegiatan koperasi sekolah sebagai aktiviti kokurikulum.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan dan Kokurikulum SMK Putrajaya Presint 9 (2) Tahun 2023 di Putrajaya pada 5 Januari 2024.

Kemampuan koperasi sekolah dapat dibuktikan dengan 23 buah koperasi sekolah telah berjaya memperolehi perolehan melebihi RM1 juta pada tahun 2023.

Statistik oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia menunjukkan sehingga Jun 2023 (Interim), sebanyak 2,485 koperasi sekolah telah menyumbang perolehan sebanyak RM227.48 juta dengan aset bernilai RM440.12 juta, syer/yuran berjumlah RM29.79 juta dan keanggotaan lebih dua juta orang.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga berkata, masih banyak koperasi sekolah yang berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan dan perolehan melebihi RM1 juta.

Dengan jumlah perolehan tersebut, keuntungan bersih hasil perniagaan koperasi berupaya membantu dalam menjalankan aktiviti kokurikulum dan pembangunan sekolah khususnya melalui tabung khas yang diwujudkan oleh koperasi.
 
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengetua SMK Putrajaya Presint 9 (2), Puan Mazira Mohd Zain, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Puan Dalizwa Deena Salihin, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Yusnida Mohd Sani, Yang Dipertua PIBG SMK Putrajaya Presint 9 (2), Haji Rozaan Mat Isa dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *