Hari Buruh 2022 – Harapan & Solusi dambaan rakyat

  • May 1, 2022
  • 3 min read
Hari Buruh 2022 – Harapan & Solusi dambaan rakyat

1 MEI 2022 – PEJUANG Muda Malaysia mengucapkan selamat menyambut hari buruh tahun 2022 kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mencurahkan bakti dan tenaga dalam
segenap sektor di negara ini, demi kemajuan & kesejahteraan Malaysia.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak kerajaan atas beberapa inisiatif yang
diambil terkait isu pekerjaan, namun PEJUANG Muda Malaysia berpendapat, banyak
lagi perkara yang perlu ditambah baik agar ‘buah’ inisiatif ini benar-benar mencapai
tujuan kewujudannya.

Inisiatif gaji minima yang ditetapkan oleh kerajaan baru-baru ini disambut dengan baik
oleh golongan pekerja, namun perhatian serius harus diberikan oleh kerajaan agar
kenaikan tahap gaji minima ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh pekerja terutama di
kalangan B40. Isu kenaikan harga barangan asas kini yang masih belum
berkesudahan tidak akan membantu pekerja walaupun kadar gaji minima yang baharu
ditetapkan.

Terkait kadar gaji minima, Pejuang Muda Malaysia berharap agar kadar upah atau gaji
minima kepada golongan professional juga wajar dikaji semula, terutama yang
melibatkan pekerja siswazah seperti jurutera, peguam, akauntan dan sebagainya.
Masakan isu ‘jurutera miskin’ masih boleh menjadi tajuk utama akhbar selepas negara
mencapai kemajuan yang pesat dalam pelbagai bidang.

Melalui Majlis Pekerjaan Negara dan inisiatif lain yang diterajui kerajaan, Pejuang
Muda Malaysia menyandarkan harapan penuh agar lebih banyak peluang pekerjaan
berkemahiran tinggi diwujudkan bagi mengurangkan isu ketidakpadanan pekerjaan
atau ‘job mismatch’. Lambakan graduan universiti dan kolej dari pelbagai bidang
ditambah dengan penutupan perusahaan besar dek pandemik dilihat akan menjadi
lebih parah jika kerajaan tidak mengambil tindakan tuntas. Inisiatif kerajaan yang
mesra syarikat multinasional dilihat berupaya mengawal seterusnya menyelesaikan
isu ini.

Dalam peralihan ke fasa endemik, isu jaminan pekerjaan atau ‘job security’ dilihat lebih
serius dimana pekerja terpaksa melakukan lebih dari yang sepatutnya tanpa bayaran
tambahan setimpal semata-mata untuk mengelakkan daripada dipecat. Ini memberi
lebih tekanan kepada pekerja yang pasti memberikan impak negatif kepada
produktiviti pekerja dan perusahaan secara umum.

Isu ketidakadilan kepada pekerja seperti pemecatan tanpa sebab, gaji tidak berbayar
dan sebagainya harus dilihat dengan lebih serius oleh pihak kerajaan. Kewujudan akta
tertentu yang melindungi hak pekerja tidak memberi makna apa-apa tanpa
penguatkuasaan yang berkesan.

Perhatian harus diberikan kepada kes di mana pekerja tidak dapat mempertahankan

hak mereka semata-mata kerana tidak mampu untuk mengupah peguambela yang

sesuai dalam memperjuangkan kes di mahkamah, dan majikan pula terlepas daripada

tindakan penguatkuasaan disebabkan kemampuan mereka mengupah peguambela

yang lebih baik.

Pejuang Muda Malaysia berharap agar hari buruh tahun 2022 yang kebetulan jatuh

dekat dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, dapat disambut dengan

penuh kesyukuran pada masa yang sama dengan iktikad untuk sama-sama menjadi

lebih baik dan produktif demi kemajuan bangsa dan negara baik dari pihak pekerja

mahupun majikan.

Dipl.-Ing (FH) Mohd Akmal M Yusoff

EXCO PEKERJAAN & MODAL INSAN

PEJUANG MUDA MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *