Kematian kucing di UM: Dr Wan Azizah gesa siasatan menyeluruh kes kematian ngeri

  • December 21, 2024
  • 2 min read
Kematian kucing di UM: Dr Wan Azizah gesa siasatan menyeluruh kes kematian ngeri

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah menggesa tindakan lanjut dan siasatan menyeluruh dalam mengenal pasti punca kematian kucing dalam keadaan mengerikan di Fakulti Perniagaan dan ekonomi, Universiti Malaya.

Kejadian ini dapat disimpulkan kejadian yang sangat menyedihkan khususnya kepada pencinta haiwan.

Beliau juga mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan, malah melanggar undang-undang.

“Siasatan teliti yang dilaksanakan akan mengambil kira semua fakta kes terutamanya penemuan kesan bahagian tubuh kucing yang seperti dipotong,” katanya yang turut menyuarakan kebimbangan dan rasa terkejut dengan insiden menyayat hati itu.

Dr Wan Azizah berkata demikian menerusi kenyataan dibacakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Beliau juga menggesa UM meningkatkan peranan dan keberkesanan entiti ‘Universiti Malaya Animal Guardians’ yang ditubuhkan pada Ogos lepas, dengan melibatkan pihak mempunyai kepakaran seperti persatuan pencinta haiwan serta polis.

Pada sidang media itu, Azman yang juga Penaung Persatuan Rakan Kucing Malaysia berkata pihaknya khuatir insiden itu boleh membawa kepada masalah lebih besar pada masa akan datang, jika kejadian yang berlaku tidak disiasat secara terperinci.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr Arie Dwi Andika yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan daripada Malaysia Animal Law and Operational Security Compliance (MALOSC) berkata, Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh digunakaan, jika terdapat elemen jenayah melibatkan perlakuan manusia dalam kejadian itu kerana berpandangan kematian itu tidak disebabkan serangan hidupan liar.

Semua pihak diseru agar prihatin dan cakna mengenai kebajikan haiwan agar dapat mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *