Kerjasama MTPN Dan Skin Dessert kumpul Dana demi melahirkan ekosistem membantu usahawan wanita melalui kempen Tabung Pembangunan Usahawan Wanita.

  • June 26, 2023
  • 2 min read
Kerjasama MTPN Dan Skin Dessert kumpul Dana demi melahirkan ekosistem membantu usahawan wanita melalui kempen Tabung Pembangunan Usahawan Wanita.

GEORGE TOWN: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dengan kerjasama usahawan produk kosmetik, Skin Dessert baru-baru ini menjayakan Kempen Tabung Pembangunan Usahawan Wanita di Hotel Eastern & Oriental, di sini, pada Selasa.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, Jegan R. Subramaniam.

Timbalan Presiden Kebangsaan MTPN, Abdul Malik Jamaran berkata, kolaborasi itu bertujuan untuk melahirkan usahawan baru sekali gus menjadi platform terbaik untuk mengumpul dana bagi membantu golongan wanita khususnya dalam aspek peluang pekerjaan.

“Kita nak kumpulkan dana melahirkan ekosistem di mana dana ini kita salurkan balik kepada usahawan wanita baru dan akan kembali memulakan perniagaan melalui produk yang Skin Dessert keluarkan,” jelasnya.

Selain dari usaha kempen tersebut, MTPN sebagai rakan strategik turut mengadakan saluran khas kepada pengguna untuk membuat aduan berkenaan masalah kulit atau isu-isu berkaitan produk Skin Dessert secara terus kepada pihaknya.

“Jika ada pengguna di luar sana mengalami sebarang isu permasalahan, kita di MTPN telah bersetuju dengan adanya program tabung ini, kami akan buat satu saluran khas di mana MTPN sendiri menjadi rakan strategik dari sudut tabung dan juga isu-isu permasalahan.

“Jadi kita gunakan platform khas untuk Skin Dessert, jika ada permasalahan pengguna di luar sana. Jadi isu pemakaian produk-produk Skin Dessert tidak lagi perlu risau kerana mereka boleh terus berurusan dengan MTPN.

“Kami membuka aduan khusus untuk Skin Dessert dan isu-isu berkenaan hal itu akan terjawab dan kita akan pastikan nasib pengguna terbela,” katanya.

Sementara itu, usahawan kosmetik Skin Dessert, Zirra Abdullah meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang untuk menjalin kerjasama dengan MTPN dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan wanita berkaliber.

“Saya sangat teruja untuk melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan baru especially dengan melalui tabung keusahawanan wanita ini.

“Pada saya, peluang ini adalah satu platform untuk jenama-jenama lokal lain juga ambil inisiatif untuk kita tingkatkan lagi ekonomi golongan-golongan wanita terutama suri rumah,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *