MAAB TERUS CEMERLANG : CATAT PEROLEHAN RM13 JUTA TAHUN 2022
MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) terus maju ke hadapan sebagai penyedia utama bagi perancangan dan pentadbiran harta pusaka di Malaysia.
Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pencapaian MAAB terus meningkat dari tahun ke tahun dan setakat Disember 2022, MAAB telah mendaftarkan hampir 250,000 kes wasiat dengan nilaian anggaran aset sebanyak RM125 bilion, jumlah pusaka telah diurus pula adalah sebanyak 728 fail manakala akaun Amanah yang mana MAAB bertindak sebagai pemegang amanah adalah bernilai sebanyak RM250 juta.
“Untuk tahun 2022 juga, MAAB telah meraih pendapatan kasar sebanyak RM13 juta dan sebahagiannya telah diagihkan kepada asnaf yang layak dalam bentuk zakat perniagaan. Ini sangat penting dalam mendapatkan keberkatan daripada Allah S.W.T seterusnya memastikan kesinambungan perniagaan dan kejayaan pada masa akan datang.”
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik MAAB Bersama Koperasi-Koperasi dan Majlis Penyerahan Sumbangan Infaq dan Zakat yang telah berlangsung di ibu pejabat ANGKASA pada 20 Jun 2023.
Sebanyak lapan buah koperasi iaitu Koperasi 1Keluarga Malaysia Berhad, Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad, Koperasi Shamelin Berhad, Koperasi Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Pahang Berhad, Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad, Koperasi Yayasan Guru dan Penjawat Awam Malaysia Berhad, Koperasi Peka Malaysia Berhad dan Koperasi Keluarga Haji Abdul Latif Seremban Berhad telah mendaftar sebagai Rakan Niaga Koperasi (RNK) MAAB sekali gus menjadi wakil ejen MAAB bagi pemasaran produk perancangan dan pentadbiran harta pusaka.
Tambah Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, besar harapan beliau untuk melihat MAAB terus cemerlang dan dapat membantu masyarakat menyelesaikan masalah harta pusaka terbeku akibat gagal menyelesaikan urusan pentadbiran harta pusaka.
“MAAB dan semua koperasi yang menandatangani perjanjian hari ini akan berganding bahu dan berusaha sebaik mungkin untuk menyedarkan masyarakat terutamanya yang beragama Islam untuk merancang harta pusaka melalui MAAB, dalam masa sama meraih pendapatan tambahan lumayan sekali gus mampu mengeluarkan zakat lebih besar dan membantu golongan yang lebih memerlukan,” katanya.
Sebelum itu, Pengerusi MAAB merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dalam ucapan aluannya berkata, dengan tema ‘Ke Arah Pengukuhan Jaringan Perniagaan MAAB’, beliau berharap MAAB dapat mengorak langkah lebih jauh bagi memastikan sasaran perolehan pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM13.3 juta tercapai. MAAB juga manyasarkan jualan wasiat sebanyak RM11.9 juta iaitu 89.6 peratus daripada sasaran jumlah perolehan.
“Saya berharap untuk tahun ini, kita bukan sahaja dapat menjual produk wasiat, malah menguar-uarkan produk-produk lain yang sedia ada di MAAB seperti Amanah Pusaka Care, Hibah Hartanah dan Hibah Saham Koperasi,” jelasnya.
Majlis tersebut juga menyaksikan MAAB menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM199,544.58 kepada ANGKASA yang bertindak sebagai amil zakat selain penyerahan sumbangan infaq daripada harta pusaka Almarhumah Puan Hamada Bee Zainal Shah sebanyak RM10,000 kepada beberapa penerima iaitu Yayasan Infaq ANGKASA, Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Ansar, sumbangan pembinaan Masjid Al Ulum Wattoiyibah serta Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Mukim Gong Badak Kuala Nerus Terengganu – PPDK Gong Badak.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi MAAB merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Pengarah Eksekutif MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Barisan Ahli Lembaga Pengarah MAAB iaitu Dato’ Dr. Haji Adnan Alias, Dato’ Syed Ali Syed Mohammad, Haji Sazali Abd Hamid dan Haji Abdullah Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Ahli Lembaga Pengarah MAAB merangkap Penanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAAB, Encik Mohamad Darulnizam Mat Darus.