Larangan eksport minyak sawit Indonesia buka peluang untuk industri sawit negara
10 MEI 2022 – Pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit di Malaysia harus
berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud selepas keputusan
Indonesia untuk menghentikan eksport minyak sawit. Sebagai pengeluar
minyak sawit yang terbesar di dunia, Indonesia menetapkan larangan ini untuk
menurunkan harga komoditi dan seterusnya mengatasi kekurangan bekalan
domestiknya.
Walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri
minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu
digunakan oleh industry minyak sawit Malaysia. Memandangkan terdapat
kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuatkuasa, industri
minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil
meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.
Negara India mengimport antara 13.0 dan 13.5 juta tan metrik minyak masak
dengan import minyak sawitnya merangkumi antara 8.0 juta dan 8.5 juta tan
metrik (63%). India yang juga merupakan konsumer terbesar minyak sawit
Indonesia, dengan hampir 45% daripada kuantiti ini datang dari negara jiran
kita manakala selebihnya diperoleh dari Malaysia.
Larangan eksport ini juga secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran
global minyak masak akibat konflik antara Rusia dan Ukraine dan isu
pemanasan global. Harga sawit, kacang soya, minyak rapeseed Eropah dan
minyak kanola kini juga berada pada paras tertinggi dalam sejarah. Meskipun
secara logiknya, Malaysia patut menjadi benefisiari sebagai pengeksport kedua
terbesar minyak sawit selepas Indonesia, terdapat keraguan sama ada
Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan untuk
meningkatkan pengeluaran.
- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kekal optimistik
dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat ketika
kemungkinan cabaran isu kekurangan pekerja masih belum dapat diselesaikan
sepenuhnya. Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, KPPK yakin
Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan
global minyak sawit. - Memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang
rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, Kementerian
yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini
dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar
larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi
stabil. Penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia
akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan
terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan
inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport. - Selain itu, Kementerian juga ingin mengingatkan pemain industri sawit negara
bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak yang akan berlaku
memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran
bermusim sekarang. Tambahan pula dengan prospek Korea Selatan yang
merupakan salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang,
melepaskan stok simpanannya. Perlu diingati bahawa jika konflik antara Rusia
dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok
minyak rapeseed dan bunga matahari. Mengambil kira risiko-risiko tersebut,
industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan
semasa dan bukannya membiarkan peluang tersebut berlalu. - Kementerian juga ingin memberi jaminan kepada pemain industri bahawa
usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk
sektor perladangan sedang dilakukan. Pada September tahun lalu, kerajaan
telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang
kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini. Malaysia kini
menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada bulan Mei dan
Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah
sawit.
- Untuk jangkamasa panjang, KPPK mengunjurkan pengeluaran dan eksport
minyak sawit akan meningkat sebanyak 30% menjelang akhir 2022.
Kementerian berkeyakinan bahawa tahap pengeluaran akan meningkat
walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah
disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua
tahun yang lalu berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan
Pemulihan Negara pasca COVID-19. Justeru, Kementerian yakin tahap
pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta
mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia.