ππ„ππ†π”πŠπ”π‡π€π π‘πˆππ†π†πˆπ“ 𝐃𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐉𝐔𝐑𝐀𝐍 πˆπŒπ… ππ”πŠπ“πˆ πŠπ„π˜π€πŠπˆππ€π πƒπ”ππˆπ€ 𝐓𝐄𝐑𝐇𝐀𝐃𝐀𝐏 π„πŠπŽππŽπŒπˆ πŒπ€π‹π€π˜π’πˆπ€

[πŠπ„ππ˜π€π“π€π€π πŒπ„πƒπˆπ€ – π’π„π“πˆπ€π”π’π€π‡π€ ππŽπ‹πˆπ“πˆπŠ πŒπ„ππ“π„π‘πˆ πŠπ„π–π€ππ†π€π
πŒπ”π‡π€πŒπŒπ€πƒ πŠπ€πŒπˆπ‹ 𝐀𝐁𝐃𝐔𝐋 πŒπ”ππˆπŒ]

2 MEI 2026

Saya menyambut baik perkembangan positif prestasi mata wang negara apabila ringgit kini muncul sebagai antara mata wang terbaik Asia bagi tahun 2026.

Laporan media ekonomi serantau termasuk CNBC Indonesia turut mengiktiraf kekuatan ringgit apabila menyifatkan mata wang Malaysia sebagai yang paling kukuh di Asia ketika banyak mata wang serantau lain sedang mengalami tekanan dan penyusutan nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Apa yang lebih membanggakan, pengukuhan ini bukan berlaku secara sementara atau bersifat spekulatif, sebaliknya menunjukkan trend yang konsisten dan berterusan hasil kekuatan asas ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI.

Data dan analisis ekonomi semasa menunjukkan ringgit bukan sahaja mengukuh berbanding dolar AS, malah turut mencatat prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang utama Asia termasuk yuan China dan dolar Singapura dalam tempoh tertentu tahun ini.

Menurut laporan CNBC Indonesia, sehingga penghujung April 2026, ringgit mencatatkan apresiasi sekitar 2.64 peratus berbanding dolar AS, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dalam prestasi mata wang Asia, diikuti China dan Singapura.

Dalam masa yang sama, perkembangan ini turut disokong oleh unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memperlihatkan keyakinan lebih tinggi terhadap ekonomi Malaysia walaupun ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan.

IMF dilaporkan telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi tahun 2026 kepada 3.1 peratus berbanding 3.3 peratus sebelum ini, iaitu penurunan sebanyak 0.2 peratus susulan kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Timur Tengah.

Namun di sebalik kelembapan ekonomi global tersebut, IMF telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.7 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini, iaitu peningkatan sebanyak 0.4 peratus daripada unjuran awal.

Peningkatan unjuran ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan ekonomi yang lebih kukuh berbanding banyak negara lain, didorong oleh permintaan domestik yang mantap, asas eksport yang pelbagai serta keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negara.

Kekuatan ringgit hari ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia disokong oleh beberapa faktor utama antaranya pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, aliran masuk pelaburan asing yang positif, kestabilan politik, reformasi ekonomi yang jelas serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan dan Bank Negara Malaysia.

Malah, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit yang terus mengukuh membuktikan bahawa prestasi mata wang negara bukan hanya bergantung kepada kelemahan dolar AS semata-mata tetapi turut mencerminkan kekuatan sebenar ekonomi Malaysia berbanding negara-negara rakan dagang di Asia.

Ketika ada pihak terus memainkan naratif pesimis terhadap ekonomi negara, realitinya komuniti kewangan antarabangsa sedang melihat Malaysia dalam perspektif yang jauh lebih positif. Pengukuhan ringgit dan peningkatan unjuran IMF ini adalah mesej jelas bahawa Malaysia sedang kembali muncul sebagai destinasi ekonomi dan pelaburan yang diyakini di rantau Asia.

Momentum positif ini perlu diteruskan menerusi reformasi ekonomi yang konsisten, pengukuhan tata kelola, disiplin fiskal serta usaha memperkukuh daya tahan domestik agar manfaat pertumbuhan dapat dirasai seluruh rakyat.

Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi simbol keyakinan dunia terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *