Malaysia–China Perkenal Kad Budaya Digital, Sasar Ledakan Pelancong Sempena VM2026

KUALA LUMPUR – Malaysia dan China melakar satu lagi kerjasama strategik apabila melancarkan inisiatif Kad Budaya Digital sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang dijangka mampu menarik sehingga 500,000 pelancong China setiap bulan ke negara ini.
Inisiatif berteraskan teknologi digital itu dilihat sebagai langkah progresif dalam memperkukuh industri pelancongan negara, selari dengan perubahan trend global yang semakin memfokuskan pengalaman pelancongan pintar dan interaktif.


Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Kapten Mahadzir Mansor berkata, sasaran tersebut disokong oleh kekuatan pasaran China yang kekal menjadi antara penyumbang terbesar pelancong antarabangsa ke Malaysia.
Menurut beliau, sambutan awal yang memberangsangkan terhadap konsep pelancongan digital itu turut meningkatkan keyakinan terhadap potensi besar projek berkenaan.


“Pendekatan digital bukan sahaja memudahkan akses pelancong, malah berupaya meningkatkan nilai perbelanjaan mereka sepanjang berada di Malaysia.
“Kita bukan sekadar mahu meningkatkan jumlah ketibaan pelancong, tetapi turut memberi penekanan terhadap kualiti perbelanjaan dan impak ekonomi yang lebih menyeluruh kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Projek Kad Budaya Digital Visit Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mahadzir menjelaskan kad digital tersebut membolehkan pengguna di China mengumpul ganjaran menerusi transaksi harian di negara mereka sebelum menebus pelbagai tawaran eksklusif ketika melancong di Malaysia.
Katanya, konsep itu menghubungkan gaya hidup pengguna luar negara dengan ekosistem pelancongan tempatan secara lebih moden, tersusun dan bernilai tinggi.
“Melalui pendekatan ini, kita mahu mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih premium, sekali gus menggalakkan pelancong tinggal lebih lama dan berbelanja lebih aktif di Malaysia,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan projek yang diterajui NQ Cultural Commercial Sdn Bhd kini sedang memasuki fasa penyelarasan bersama rakan industri tempatan bagi memastikan rangkaian tawaran yang kompetitif dapat diwujudkan.
Tambah beliau, penglibatan vendor tempatan, penyedia perkhidmatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada pemain industri pelancongan negara.
MiTDA turut menyifatkan pengenalan Kad Budaya Digital itu sebagai satu inisiatif futuristik dan berimpak tinggi dalam memperkukuh hubungan pelancongan antara Malaysia dan China yang telah lama terjalin, termasuk menerusi program seperti Asia Kid Star.
Berbeza dengan pendekatan pelancongan konvensional, inisiatif tersebut menggabungkan elemen budaya, teknologi digital dan pengalaman interaktif bagi menarik generasi muda, termasuk melalui kandungan visual, komuniti dalam talian dan penceritaan digital sebelum mereka menjejakkan kaki ke Malaysia.
Seiring perkembangan itu, MiTDA menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh ekosistem pelancongan negara secara mampan menerusi pendekatan “Volume + Value + Stay” yang memberi fokus kepada peningkatan jumlah pelawat, nilai perbelanjaan serta tempoh penginapan pelancong.
Menurut Mahadzir, pelaksanaan Kad Budaya Digital itu dijangka bermula sekitar pertengahan tahun ini secara berperingkat.
“Jika semuanya berjalan seperti dirancang, inisiatif ini berpotensi menjadi antara game changer utama dalam menarik pelancong berkualiti tinggi ke Malaysia menjelang VM2026,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *