Maut jatuh gaung ketika daki Hutan Simpan Bukit Kledang
IPOH: Seorang lelaki berumur 40 tahun maut selepas terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki bukit di Hutan Simpan Bukit Kledang, di sini hari ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, mangsa dikenali sebagai Shahrom Ahmad Salaludin ditemui tidak sedarkan diri oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh di lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang.
Sebelum itu, mangsa dipercayai mendaki bukit berkenaan bersama rakannya.
“Mangsa telah jatuh ketika berada dalam jarak 400 meter dari kaki bukit. Mangsa telah disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pasukan bomba telah membawa mangsa turun ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ini diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Balbir Singh Chandan Singh dan berakhir pada jam 8.30 malam.