Meriahnya Program Dodol Vaganza Semenyih 6.0, Dodol Vaganza 7.0 Akan Datang Mungkin di Stadium??
Hulu Langat – Sebanyak 20 kawah dodol dikacau oleh lebih 300 sukarelawan sempena Program Dodol Vaganza Semenyih 6.0 2024 bertempat di perkarangan Pasaraya CLC Semenyih Sentral, Hulu Langat, Selangor.
Program ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Mohd Sany Hamzan.
Sementara itu, DJ Selangor FM, AenRaen yang turut memeriahkan program tersebut berkata Program Dodol Vaganza ini merupakan suatu program yang menarik yang boleh dibanggakan kerana aktiviti bergotong royong mengacau dodol ini merupakan satu warisan yang wajar dijadikan aktiviti turun menurun dalam kalangan masyarakat.
“Ini adalah satu program yang boleh menjadi kebanggaan, menjadi warisan yang boleh diteruskan. Seramai 300 lebih pengacau dodol adalah dari kampung sekitar Semenyih sendiri. Apa-apa pun, ini satu program yang cukup menarik,” ujarnya.
Pengerusi Skuad Antidadah Selangor, Hanafi Jalalludin menjelaskan bahawa program ini dianjurkan sebagai satu wadah perpaduan rakyat pelbagai kaum dan pengenalan dodol sebagai makanan warisan terutama ketika sambutan hari raya aidilfitri.
“Program ini bertujuan merapatkan perpaduan rakyat pelbagai kaum selain memperkenalkan dan mengetengahkan budaya dan makanan tradisi masyarakat Melayu iaitu dodol yang sinonim dengan Aidilfitri.
Sukarelawan terlibat juga berbilang bangsa bukan hanya Melayu tetapi turut disertai masyarakat India dan Cina yang mana mereka dapat rasakan suasana seperti malam raya (Aidilfitri) pada program seperti ini.
Selain itu, program seperti ini juga dapat menggalakkan penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan dalam kalangan anak muda sekaligus memberi pendedahan kepada golongan tersebut supaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Significant nya buat ahli-ahli squad dan penduduk sekitar dapat bersama-sama mengisi masa lapang dengan program-program yang bermanfaat bagi mengelakkan kita daripada penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.
Program Dodol Vaganza mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat berbilang kaum serta peringkat umur dan telah memasuki tahun keenam penganjurannya.
Pada tahun ini, sebanyak kira-kira 2,000 bekas dodol berjaya dihasilkan dalam program ini dan seterusnya diagihkan kepada penduduk sekitar dan sukarelawan yang terlibat. – UTV Media Msia