Persatuan Anggun Malaysia, Rela Mukim Setapak Daerah Gombak Anjur Program Memasak dan Agihan Bubur Lambuk

  • April 8, 2024
  • 3 min read
Persatuan Anggun Malaysia, Rela Mukim Setapak Daerah Gombak Anjur Program Memasak dan Agihan Bubur Lambuk

Gombak – Dalam menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadhan yang mulia, Persatuan Anggun Malaysia dengan kerjasama Rela Mukim Setapak daerah Gombak, Greentech Axis Berhad dan JKP Zon 1 telah menganjurkan Program Memasak dan Agihan Bubur Lambuk Istimewa buat seluruh penduduk Gombak Utara dan sekitar bertempat di Pejabat Ahli Majlis Zon 1, Jalan Sg. Pusu, Gombak.

Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan dan dimasak secara bergotong royong menggunakan resepi original dan asli ‘orang lama’.

Menurut Pegawai Rela Mukim Setapak PPJR Tuan Mohd Najib Bin Mohamad, ini adalah tahun yang kedua penganjuran program ini hasil kerjasama dan kolaborasi antara Jabatan Sukarelawan (Rela) Daerah Gombak dan juga Persatuan Anggun Malaysia yang mana diwakili oleh Cik Puan Lily dalam program tersebut.

“Kolaborasi ini seperti tahun lepas kita buat ialah program menyediakan juadah bubur lambuk yang mana pada tahun ini, kita buat sebanyak lebih kurang 2,000-1,500 (bekas bubur lambuk) yang mana kita akan agihkan sumbangan ini kepada agensi-agensi Kerajaan, ahli bomba, polis dan juga ahli masjid dan masyarakat awam yang mana dekat sini dekat rumah anak yatim di Kawasan Gombak Utara ini,” katanya.

Sementara itu, Puan Lily, Presiden Persatuan Anggun Malaysia menzahirkan keterujaan dan perasaan bangga dengan kejayaan program tersebut.

“Saya sebagai Presiden Persatuan Anggun Malaysia sebenarnya sangat berbangga dengan semangat kerjasama yang terjalin diantara Rela Mukim Setapak daerah Gombak dibawah Tuan Najib dan juga di bawah Tok Jamal sebab kita berjaya bekerjasama dalam menjayakan program yang sama selama dua tahun berturut-turut untuk masyarakat Gombak khususnya,” ujarnya.

Jelas beliau, istimewanya bubur lambuk ini adalah kerana menggunakan resepi tradisi yang original dan asli.

“Ada kacang, ada jagung, ada daging, rempah semualah yang disangai dan kita menggunakan 100% santan asli, tidak memakai santan campuran, jadi kepekatan dan rasanya memang lainlah. Dia tak berminyak dan dia punya lemak lain rasanya. Dan kita tak mahu campur santan kotak.

“Resipi yang kita masak ni ialah resepi memang dah lama dan kita tidak ubah apa-apa resepi pun, kita ikut yang asal. Dan dia memang sedaplah sebab saya cuba memang sedap,” katanya lagi.

Menurut Puan Lily, seramai 30 orang terlibat dalam memasak bubur lambuk Dimana 15 orang daripada Persatuan Anggun Malaysia dan 15 anggota Rela mukim Setapak. Seluruh ahli bergotong royong beramai-ramai termasuklah memotong bahan-bahan sehinggalah selesai memasak bubur lambuk dan seterusnya diagihkan kepada orang awam.

“Kami, Persatuan Anggun Malaysia dan juga anggota sukarelawan Rela Mukim Setapak daerah Gombak telah memulakan persiapan seawal 8 pagi dengan menyediakan bahan-bahan dan selesai memasak pada jam 1 tengah hari. Dan sekarang, pukul 5 kita dah selesai agihkan keseluruhan dalam 2,000 bekas buat tahun ni berbanding tahun lepas kita dalam 1,000 sahaja,” jelasnya.

Johari Jaafar, Ketua Kampung Tengah Gombak berkata aktiviti bergotong royong memasak bubur lambuk sebegini amatlah diraikan penganjurannya kerana ia dapat mengeratkan tali persaudaraan dan hubungan baik sesama masyarakat setempat. – UTV Media Msia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *