Penamatan kontrak, elektrik dan air dipotong tanpa alasan yang kukuh, dimanakah keadilan bagi saya? – Dr Abas

  • April 23, 2024
  • 3 min read
Penamatan kontrak, elektrik dan air dipotong tanpa alasan yang kukuh, dimanakah keadilan bagi saya? – Dr Abas

SERDANG – The Plot yang terletak di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) merupakan sebuah ladang dengan konsep ‘urban garden farm’ yang dipenuhi lebih 500 spesies tumbuhan agro-pelancongan serta menjalankan R&D berasaskan pertanian dan bioteknologi.


Selain itu, The Plot yang meliputi tanah seluas dua ekar merupakan pusat sehenti yang menawarkan pengalaman menarik buat para pengunjung bagi mempelajari pelbagai spesies tumbuhan dan sains disebalik tanaman yang diusahakan di situ melalui program agro pelancongan.


Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Apadana Agro Sdn Bhd, Dr Abas Mazni Othman yang merupakan pengasas The Plot berkata terdapat ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak MARDI terhadap penamatan kontrak penyewaan ladang agro tersebut.

Kronologi isu penamatan kontrak ini bermula sejak Mei 2022 dan kemelut ini berlarutan sehingga ke hari ini.


“Saya berasa sangat kecewa dengan apa yang terjadi di The Plot, di mana mula-mula saya lakukan ini dengan hasrat untuk membina satu tempat di mana saya boleh menyebarkan ilmu, kepakaran dan pengalaman kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.


Bermula pada 2015, Dr. Abas telah dijemput sebagai salah seorang pelabur di The Plot bagi mengetengahkan idea dan modul dalam usaha meningkatkan pembangunan pertanian negara.

Untuk makluman, beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang pertanian atas tajaan negara Malaysia di Jepun selama 6 tahun selain bekerja di MARDI selama 32 tahun dan Institut Agro-Bioteknologi Malaysia selama 2 tahun.


Menurut Dr. Abas, The Plot diasaskan dengan menggunakan dana sendiri dan dianggap sebagai satu timbal balik bagi membalas jasa kepada negara. Beliau turut meluahkan kekecewaan susulan tindakan yang diambil oleh pihak MARDI terhadap isu penamatan kontrak penyewaan ini.


“Bila MARDI tak sambungkan dengan syarat yang tidak masuk akal, saya tidak boleh terima. Saya dah buat semua segala, berbagai-bagai (sebagai solusi), rayuan kepada Menteri, rayuan kepada KSU, tetapi nampak gayanya masih tidak diendahkan.


“Sehingga hari ini, saya menunggu satu mesyuarat untuk mendapatkan ‘fair hearing’, dapat satu pengadilan tapi saya masih berharap supaya pihak yang berkuasa memberikan saya satu peluang untuk saya defend diri saya, dengar kedua-dua pihak dan dengan fakta-fakta dan bukti-bukti yang kukuh, (kemudian) buatlah satu keputusan yang baik untuk kedua-dua pihak dan saya berharap apa-apa Keputusan adalah untuk kepentingan negara,” jelas beliau.


Kronologi isu penamatan kontrak ladang Agro ini bermula pada 26 Mei 2022, apabila satu mesyuarat melibatkan para penyewa dan pihak MARDI telah diadakan, namun dibatalkan melalui kiriman emel pada keesokan hari.

Selepas itu, satu kenyataan mengenai Peringatan Pertama Tunggakan dikeluarkan namun para penyewa tida dipanggil untuk bertemu.


Pada 23 Jun 2023, sekitar 6.45 petang, bekalan elektik The PLOT dipotong tanpa sebarang pemberitahuan yang menyebabkan kesulitan yang teramat dan kerugian yang besar di atas barangan dan produk-produk dan juga membantutkan kerja-kerja harian untuk membuat produk.

Selain itu, pemotongan air juga turut dilakukan pada 12 Julai 2023, sekitar 6.30 pagi tanpa sebarang notis dan pemberitahuan.


Satu surat rayuan telah dikemukakan pada 23 Julai 2023 agar bekalan elektrik dan air dikembalikan susulan kerugian besar yang dialami seperti kematian dan kerosakan ke atas tumbuhan dan ternakan selain rayuan untuk diberikan tempoh selama satu (1) tahun sebagai ruang waktu bagi mencari tempat baharu dan tempoh bagu mengeluarkan segala barangan dan aset untuk berpindah.


Sehingga kini, Dr. Abas masih lagi mencari titik penyelesaian bagi menamatkan kemelut yang dialami beliau dan seluruh pihak yang mengusahakan ladang agro, The Plot, yang telah banyak membantu pelajar-pelajar latihan industri dan penduduk sekitar bagi mencari rezeki.

Beliau berharap agar pihak berkuasa sudi campur tangan dan menawarkan lembaran baru bagi menamatkan episod duka ini. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *