NGO PERGAK Berjaya Lahirkan Usahawan OKU, Mental
KUALA LUMPUR: Bekas banduan Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Ezzat Saryani, 32, bersyukur apabila dirinya telah diberikan peluang oleh Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) untuk menjadi salah seorang usahawan baharu dari bekas banduan yang terpilih dalam program i-Kembali dalam menguruskan perniagaan pusat cuci kereta dekat Sri Hartamas, Segambut, Kuala Lumpur.
Katanya, PERGAK juga menawarkan pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti pekerjaan di pusat cuci kereta tersebut kepada semua peserta i-Kembali supaya mereka dapat menjana pendapatan sendiri.
“Program ini dapat meningkatkan keyakinan serta taraf hidup saya, menjadikan saya orang yang lebih berguna kepada masyarakat,” katanya.
Presiden PERGAK, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, ketika beliau mendapat profil bekas banduan yang sering bertukar kerja tetapi graduan cemerlang di Switzerland dalam bidang Teknologi Maklumat, ia amat menarik perhatiannya.
“Saya kaji satu profil bekas banduan ni, pelik, dia pernah belajar di Switzerland, pandai, tapi pelik kenapa asyik bertukar kerja.
“Bila dapat tahu bekas banduan ini ada skizofrenia, saya menyelami masalah dia sebelum memberikan peluang kerja sebagai majikan pusat cuci kereta.
“Sebelum ini dia ditahan penjara kerana penggunaan dadah namun selepas bebas dia alami kesukaran untuk bekerja kerana tidak boleh tertekan.
“Jadi saya beri peluang untuk dia jadi majikan manfaatkan kepandaiannya untuk mengembangkan kerjayanya dan beliau berjaya, dia ada tiga pekerja di bawahnya,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Advokasi Industri OKU anjuran I-Kembali di dua lokasi.
Program i-Kembali merupakan satu inisiatif memberikan pekerjaan dan sinar baharu kepada bekas banduan yang telah selesai menjalani hukuman di penjara.
Melalui sokongan serat motivasi kepada para bekas banduan untuk melalui kehidupan lebih bersemangat dan lebih terbuka berbekalkan kesedaran & kemahiran yang diperolehi semasa di dalam penjara, para peserta program akan mampu untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil serta menjalani kehidupan yang stabil dan masa depan yang cemerlang. -UTVMediaMsia