Program ramah tamah Uniti Kaamatan dan Gawai kukuhkan integrasi nasional
25 Jun 2022, Seri Kembangan, Selangor – Yang Berhormat Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara hari ini merasmikan Program Ramah Tamah UNITI Kaamatan dan Gawai di The Mines 2, Seri Kembangan Selangor.
Program Ramah Tamah UNITI Kaamatan dan Gawai ini berlangsung bermula 23 hingga 25 Jun 2022, dengan kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Persatuan Anak Borneo Semenanjung.
Program ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada masyarakat di seluruh negara, khususnya di Semenanjung Malaysia untuk menghayati kepelbagaian etnik dan budayadalam kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak. Jika sebelum ini kita hanya dapat menyaksikanya melalui kaca TV, membaca di akhbar atau terbang ke dua negeri di Kepulauan Borneo itu, program ini sebaliknya membawa secara langsung gaya hidup masyarakat di Sabah dan Sarawak kepada masyarakat di sini. Ini sekaligus dapat memperkukuh semangat integrasi nasional di kalangan Keluarga Malaysia.
Program ini adalah bertepatan dengan agenda Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara. Ia adalah program yang dicetuskan oleh YB Datuk Halimah berpaksikan kepada 3 asas utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran berlandaskan kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Program Semarak UNITI Keluarga Malaysia akan menjadi tapak integrasi baharu dalam usaha untuk menterjemahkan agenda Perpaduan Nasional di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia, gagasan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob.
YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique turut menzahirkan harapan agar program sebegini dapat menjadi tapak memperkukuhkan ikatan perpaduan dan semangat integrasi nasional dalam kalangan Keluarga Malaysia keseluruhannya. “Melalui pelbagai acara yang menggambarkan keharmonian budaya dan etnik masyarakatSabah dan Sarawak sepanjang tiga hari, Program Ramah Tamah UNITI Kaamatan dan Gawai kali ini diharap dapat menyuburkan lagi tapak-tapak integrasi di kalangan seluruh masyarakat Keluarga Malaysia,” jelas YB Datuk Halimah.
Antara pengisian program menarik adalah Program Ratu Pesta Menuai di Tabika Perpaduan, Pertandingan Memperagakan Busana Tradisional Borneo, Pameran Citarasa Menu Keluarga Malaysia (Menu Sabah Sarawak), Pameran Kraftangan, Pertandingan Masakan Borneo, Pertandingan Karoake ABS Idol, Persembahan Nyanyian Artis Borneo, Menghias Pokok Ranyai, Tarian Ngajat dan Sumazau, Unity Walk, Autoshow Keluarga Malaysia 2022 dan Explorace Uniti Keluarga Malaysia.
Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, Tabika Perpaduan dan Sekretariat Rukun Negara sekitar Lembah Klang.