PERKESO Run & Ride 2022 Kembali Lagi, Lebih 3,000 peserta sahut cabaran larian dan berbasikal
KUALA LUMPUR – Setelah lebih dua tahun ditangguhkan akibat penularan COVID-19,
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kembali menganjurkan PERKESO Run & Ride
2022, hari ini. Bertempat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), acara tahunan ini berjaya menarik minat lebih 3,000 peserta untuk menyertai acara larian dan kayuhan basikal, bermula dari pukul 7 hingga 10 pagi.
Program dengan kerjasama DBKL yang diadakan bersempena dengan KL Car Free Morning ini bermatlamat untuk menggalak dan menyuburkan lagi pembudayaan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan Keluarga Malaysia, khususnya golongan pekerja. Di samping itu, program yang mula diperkenal pada 2015 ini merupakan antara sebahagian daripada aktiviti pencegahan dan promosi kesihatan pekerja yang dianjurkan PERKESO, selain daripada aktiviti pemakanan sihat, pengurusan berat badan, saringan kesihatan, berhenti merokok dan penjagaan kesihatan mental.
Sebanyak dua (2) kategori dipertandingkan iaitu acara larian ‘Fun Run’ dan acara berbasikal ‘Fun Ride’, masing-masing sejauh 7 kilometer yang bermula dan berakhir di depan Menara DBKL, Jalan Raja Laut. Penyertaan edisi PERKESO Run & Ride 2022 yang dibuka selama sebulan dari 1 Ogos hingga 2 September lalu juga menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, di mana seramai 2,813 peserta mendaftar bagi acara larian dan 336.peserta lain untuk acara berbasikal.
Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, yang diwakili oleh Dato’ Sri Subahan
Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO telah merasmikan PERKESO Run & Ride 2022.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Datuk Seri Hj. Mahadi Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohamed, Ketua Eksekutif
PERKESO.
Bersempena dengan program ini juga, PERKESO turut menyampaikan anugerah kepada majikan dan pekerja yang memenangi pertandingan Activ@Work Challenge 2022, iaitu pertandingan berbentuk cabaran bergiat aktif di tempat kerja.
Pertandingan yang berlangsung
selama tiga (3) bulan dari Julai hingga September 2022 memberikan penghargaan kepada majikan dan pekerja paling aktif sepanjang cabaran tersebut berlangsung. Pemenang dipilih berdasarkan saiz syarikat, di mana bagi kategori pekerja, pemenang dipecahkan kepada empat (4) sub-kategori iaitu Amethyst (syarikat mikro), Sapphire (kecil), Emerald (sederhana) dan Ruby (besar). Sementara itu, bagi majikan pula, pemenang adalah daripada tiga (3) sub-kategori iaitu Sapphire (kecil), Emerald (sederhana) dan Ruby (besar).
Selain itu, PERKESO turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik lain di PERKESO Run & Ride 2022 ini.
Antaranya, acara cabutan bertuah dengan 20 hadiah utama menanti pemenang
seperti motosikal, basikal, skuter elektrik dan jam tangan pintar serta aktiviti lain termasuk
pameran yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik daripada PERKESO, portal
perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs, juga pelbagai agensi lain yang turut serta.
Sebagai peneraju perlindungan keselamatan sosial di negara ini, PERKESO percaya bahawa
perlindungan sosial yang terbaik bermula daripada pekerja yang sihat dan cergas.
Sehubungan itu, sokongan kuat dan berterusan daripada golongan majikan dan pekerja untuk
menyertai program-program pencegahan dan promosi kesihatan pekerja oleh PERKESO
amatlah diharapkan pada masa akan datang bagi menjayakan objektif meningkatkan
kesejahteraan dan kualiti hidup golongan pekerja di Malaysia.