Satu Dekad, Satu Standard: MBMUAA Perkukuh Profesionalisme MUA Malaysia Melalui Playbook & Excellence Awards

SHAH ALAM, 24 Januari 2026 – Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia (MBMUAA) mencatat sejarah penting dalam landskap industri kecantikan negara apabila meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya menerusi penganjuran MBMUAA Annual Dinner yang berlangsung penuh gemilang di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam.


Lebih bermakna, sambutan sedekad MBMUAA turut diserikan dengan pelancaran rasmi Playbook MBMUAA: Kemahiran & Kompetensi Industri Seni Solekan dan Gaya Hidup, sebuah dokumen rujukan komprehensif pertama seumpamanya di Malaysia yang menetapkan piawaian profesional industri jurusolek tempatan.


Pelancaran playbook berkenaan telah disempurnakan oleh Puan Faizah binti Harun, Pengarah Bahagian Pensijilan Kompetensi (BPK), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), yang menzahirkan sokongan terhadap usaha MBMUAA memperkukuh ekosistem latihan, pensijilan dan pengiktirafan kerjaya jurusolek selari keperluan industri semasa.


Dokumen strategik itu merangkumi penyeragaman Prosedur Operasi Standard (SOP) industri, kod etika profesional, rujukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) serta garis panduan kadar bayaran rasmi bagi meningkatkan kredibiliti dan nilai profesional jurusolek tempatan di peringkat nasional.


Dalam ucapannya, Presiden MBMUAA, Datin Rosnawati Salleh, menegaskan bahawa pelancaran playbook tersebut melambangkan kematangan persatuan dalam mentransformasikan industri seni solekan daripada sekadar perkhidmatan kepada profesion yang diiktiraf secara rasmi.


“Ini bukan sekadar sambutan sedekad, tetapi manifestasi kesungguhan MBMUAA dalam melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia. Dengan sokongan JPK, MBMUAA komited membina organisasi yang mampan, berdaya saing dan berwibawa,” katanya.

Majlis yang bertemakan ‘Glam Tropical’ itu turut menjadi simbol evolusi industri kecantikan tempatan yang semakin dinamik, dengan kehadiran tetamu kehormat dan pemain industri yang tampil dalam busana berinspirasikan flora serta rona tropika, mewujudkan suasana eksklusif dan penuh gaya.

Sinergi Strategik MBMUAA–INOCHI Pacu Model Beautypreneur Baharu
Turut mencuri tumpuan ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara MBMUAA dan INOCHI, jenama penjagaan kulit premium yang membawa teknologi estetik termaju dari Picaso Cosmetic Japan ke pasaran Malaysia.

Kerjasama ini memperkenalkan inisiatif ‘MUA INOCHI’, sebuah model baharu yang memacu transformasi jurusolek kepada beautypreneur berteknologi tinggi, sekali gus membuka peluang pendapatan berulang (recurring income) dan kestabilan jangka panjang.


Menurut Dr. Mohd Ihsan Che Mohd Noh, Pengarah Urusan Kumpulan Picaso Cosmetic Sdn Bhd, setiap produk INOCHI berpotensi menjana pulangan sehingga RM3,000 menerusi model margin tinggi, di samping memperkukuh kedudukan jurusolek dalam ekosistem perniagaan kecantikan yang mampan.


Produk teras kolaborasi, INOCHI Reverse Aging Serum, dirumus secara saintifik menggunakan bahan aktif premium seperti Pullulan untuk kesan instant lifting, Glycine Max sebagai antioksidan dan Sodium Hyaluronate bagi hidrasi mendalam, menjadikannya simbol inovasi estetik berimpak tinggi.


MBMUAA Excellence Awards Iktiraf Wira Industri Seni Solekan
Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan MBMUAA Excellence Awards, yang memberi pengiktirafan berprestij kepada individu-individu luar biasa yang telah memberi sumbangan signifikan kepada industri seni solekan negara.


Antara penerima anugerah mengikut kategori ialah:

Anugerah Pencapaian Cemerlang Seni Solekan Filem & Penyiaran
Penerima: Noraini binti Ali


Anugerah Pencapaian Cemerlang Bidang Latihan & Konsultasi Jurusolek
Penerima: Dasyariwani Sariah Daud


Anugerah Bintang Bakat Muda – Jurusolek Kreatif Terbaik 2025
Penerima: Mimi Azlinda binti Othman


Anugerah Jurusolek Paling Cemerlang Tahunan 2025
Penerima: Mohammad Afdiz bin Nor Mohammad


Anugerah Kesetiaan MBMUAA (Loyalty Award)
Penerima:
Siti Roshayati binti Sheikh Hussin
Nor Susilawati binti Osman
Maziah binti Abu


Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen MBMUAA dalam meraikan dedikasi, kreativiti dan kesetiaan individu yang menjadi tulang belakang pembangunan industri jurusolek bumiputera di Malaysia.


Menjulang Masa Depan Industri Kecantikan Malaysia
Penubuhan MBMUAA sejak 2015 telah meletakkan persatuan itu sebagai peneraju dalam memperjuangkan profesionalisme jurusolek melalui latihan berstruktur, pensijilan kemahiran dan pembangunan kerjaya berimpak tinggi.


Sementara itu, INOCHI terus mengukuhkan kedudukan sebagai rakan strategik industri dengan membawa inovasi estetik bertaraf antarabangsa ke pasaran tempatan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia melahirkan komuniti kecantikan yang kompetitif di peringkat global.


Majlis sedekad MBMUAA bukan sekadar meraikan pencapaian lalu, sebaliknya menjadi penanda aras baharu ke arah masa depan industri seni solekan Malaysia yang lebih profesional, mampan dan berstandard antarabangsa. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *