TOURISM MALAYSIA PERKUKUH LIBAT URUS INDUSTRI PELANCONGAN MENUJU TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

  • March 18, 2025
  • 2 min read
TOURISM MALAYSIA PERKUKUH LIBAT URUS INDUSTRI PELANCONGAN MENUJU TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

PORT DICKSON, 13 Mac 2025 – Tourism Malaysia meneruskan usaha memperkukuh kerjasama dengan penggiat industri pelancongan menerusi Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Tahun Melawat Malaysia (TMM2026) yang berlangsung di Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Program ini merupakan kesinambungan sesi pertama yang telah diadakan di Petaling
Jaya pada Januari lalu, susulan pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi, dan maskot
TMM2026. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh hala tuju industri pelancongan negara serta membina momentum dalam mencapai sasaran nasional menjelang TMM2026.

Dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya, sesi ini turut disertai oleh wakil agensi kerajaan,
persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan, dan ejen pelancongan tempatan untuk membincangkan strategi industri serta memperkukuh kerjasama dalam menjayakan TMM2026.

Menurut YBhg. Dato’ Shaharuddin, kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta
amat penting dalam memastikan Negeri Sembilan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. Pihak industri perlu bersedia untuk mengambil peluang menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan bagi menjayakan TMM2026.

“Dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan, MOTAC telah memperuntukkan
RM130 juta bagi menyokong inisiatif ketersambungan udara melalui Geran Sektor
Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), serta
Galakan Melancong (GAMELAN). Kerjasama erat dengan Malaysia Airports Holdings
Berhad (MAHB), syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa akan diteruskan bagi membuka laluan baharu dan meningkatkan kapasiti penerbangan dari pasaran utama seperti Asia Barat, China, India, dan Asia Tengah,” katanya.
Turut hadir dalam sesi ini ialah YB Puan Nicole Tan Lee Koon, Exco Pelancongan,
Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua
Pengarah, Tourism Malaysia serta wakil-wakil industri pelancongan negeri.

Sesi ini merangkumi pembentangan mengenai inisiatif promosi TMM2026,
perbincangan industri serta sesi Business-to-Business (B2B) bagi membuka lebih
banyak peluang kolaborasi antara penggiat industri pelancongan tempatan.

Pada tahun 2024, Malaysia mencatat 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak
31.1% berbanding 2023. Sepuluh pasaran utama adalah Singapura, Indonesia, China,
Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia, dan Taiwan. Menjelang Tahun
Melawat Malaysia 2026, Malaysia mensasarkan 45 juta ketibaan pelancong dengan jangkaan sebanyak RM270 bilion hasil pelancongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *