Wabak Monkeypox di beberapa negara benua eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia

  • May 23, 2022
  • 4 min read


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada berita
penularan wabak monkeypox di tiga (3) benua iaitu Benua Eropah (United
Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Peranchis, Itali dan Jerman), Benua
Amerika (Amerika Syarikat dan Kanada) dan Australia. Sehingga 20 Mei
2022, lebih 100 kes telah dilaporkan dijangkiti virus monkeypox, sama ada
kes disahkan mahupun yang disyaki. Kebanyakan kes yang dijangkiti ini
tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik
penyakit ini. Laporan awal mengatakan sebahagian kes yang mengalami
jangkitan monkeypox ini mendapat jangkitan melalui kontak langsung
dengan individu lain (pesakit monkeypox).


Monkeypox disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses. Virus ini ditularkan
kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah
binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini juga
boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan. Virus monkeypox ini
juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam
makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang
tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian. Tempoh inkubasi biasanya

2
antara 6 hingga 21 hari. Pesakit akan mengalami gejala selama dua (2)
hingga empat (4) minggu.


Tanda-tanda jangkitan mirip cacar (smallpox), iaitu demam, keletihan, sakit
kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian
menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian
tubuh yang lain. Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit
bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan
kelenjar limfa. Kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap immuniti
yang rendah (immune deficiency) mempunyai risiko dengan gejala lebih
serius dan boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian di negara-negara
endemik monkeypox dianggarkan sebanyak 3-6%.
Penyakit ini telah dilaporkan di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah
dan Afrika Barat sejak tahun 2005. Negara-negara yang terdapat di kawasan
ini adalah Republik Demokratik Congo, Republik Congo, Cameroon,
Republik Afrika Tengah, Nigeria, Ivory Coast, Liberia, Sierra Leone, Gabon
dan Sudan Selatan. Monkeypox dianggap endemik di Republik Demokratik
Congo (DRC), dengan lebih daripada 1,000 kes disyaki setiap tahun. Nigeria
telah melaporkan wabak monkeypox yang besar pada tahun 2017 hingga
2018.


Kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.
Oleh itu, risiko virus ini tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali
sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti
ataupun kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti monkeypox.

KKM
telah menyediakan Soalan Lazim (Frequently Ask Questions – FAQ)
mengenai jangkitan monkeypox bagi menjelaskan lagi mengenai penyakit

3
ini. FAQ ini boleh dimuat turun dari laman Facebook CPRC Kebangsaan di
https://www.facebook.com/187891761403516/posts/1891643347695007/ .


KKM akan terus memantau perkembangan situasi monkeypox ini melalui
laporan yang dikeluarkan oleh pihak WHO dan melakukan pemantauan kes
disyaki monkeypox di Malaysia di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
KKM ingin menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat
kejadian monkeypox di Afrika Tengah dan Afrika Barat dan juga negara-
negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil
langkah berjaga-jaga seperti berikut:
i. Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan
dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor;
ii. Mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka
yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang
mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian yang kotor
yang digunakan oleh orang yang dijangkiti; dan
iii. Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau
memakan dagingnya.
Pengembara yang tiba di Malaysia dari kawasan yang terdapat jangkitan
monkeypox dan mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh 3 minggu
selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera
mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. Maklumkan kepada
doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak
langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri

sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering
sepenuhnya.
Pada masa ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan
Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian
pengesanan virus penyebab monkeypox dalam kalangan manusia.
Manakala Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia
(PERHILITAN) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan
pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan. KKM
sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan
Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan PERHILITAN utk memantau kejadian
monkeypox dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika
dan Benua Eropah.
KKM menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya
mengalami gejala jangkitan monkeypox agar tindakan pengasingan dapat
segera dilakukan serta pengesanan dan kuarantin kontak dapat
dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitan. Semoga tindakan awal
semua pihak dapat mengelakkan kemasukan virus monkeypox ke dalam
Malaysia. KKM akan memaklumkan situasi jangkitan monkeypox dari
semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.


TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
21 Mei 2022 @ 6:30 petang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *