KUALA LUMPUR: Asia Influential Award 2026 terus memperkukuh peranannya sebagai platform jaringan perniagaan antarabangsa dengan menghubungkan usahawan dan pemimpin industri dari 24 negara menerusi sesi business networking yang membuka peluang kerjasama rentas sempadan.
Ketua Penasihat Antarabangsa Asia Influential Award 2026, Dr Gavin Voon Shih Chin, berkata penganjuran tahun ini menyaksikan peluasan daripada ASEAN Influencer Award kepada Asia Influential Award susulan pertambahan jaringan antarabangsa yang berkembang daripada 11 negara ketika platform itu mula diperkenalkan.
Menurutnya, peluasan berkenaan mencerminkan perkembangan jaringan perniagaan yang semakin meluas, termasuk penyertaan wakil dari India, Jepun, Korea Selatan dan Qatar.
Katanya, sesi jaringan perniagaan itu bertujuan memberikan nilai tambah kepada penerima anugerah atau awardee, khususnya usahawan yang memerlukan akses kepada rangkaian perniagaan antarabangsa untuk mengembangkan operasi mereka ke pasaran luar negara.
Beliau berkata, berbeza dengan penganjuran anugerah lain yang lazimnya menumpukan kepada pengiktirafan pencapaian, platform berkenaan turut menyediakan ruang kepada penerima anugerah untuk membina hubungan perniagaan dan meneroka peluang kerjasama strategik.
“Bagi kami, perkara paling istimewa ialah peluang untuk menghubungkan usahawan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, dengan rakan perniagaan di luar negara.
“PKS bukan mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa kerana mereka memerlukan jaringan, pemasaran dan sumber yang mencukupi.
“Melalui platform ini, kami mempunyai pengarah kebangsaan (National Director) dari pelbagai negara yang memiliki sumber serta hubungan perniagaan untuk membantu usahawan Malaysia berkembang di pasaran masing-masing,” katanya.
Dr Gavin berkata, sesi jaringan perniagaan itu memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan strategik yang berpotensi diterjemahkan kepada kerjasama komersial, pembangunan produk dan pelaksanaan projek bersama.
Malah, peserta turut berpeluang memeterai memorandum persefahaman (MoU) sekiranya terdapat persetujuan untuk meneruskan kerjasama perniagaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pemeteraian MoU bukan sekadar acara simbolik kerana pihak penganjur akan memainkan peranan susulan bagi membantu memastikan kerjasama yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, pihak penganjur akan memantau perkembangan kedua-dua pihak selepas pemeteraian MoU bagi memastikan kerjasama yang dipersetujui dapat menghasilkan manfaat dalam aspek produk, projek atau pengembangan perniagaan.
Sesi jaringan perniagaan itu turut menghimpunkan peserta daripada pelbagai sektor industri, termasuk kecantikan, kesihatan dan teknologi.
Menurut Dr Gavin, jaringan antarabangsa berkenaan bukan sahaja berpotensi membantu usahawan mengembangkan perniagaan, malah membolehkan mereka memperoleh maklumat terkini mengenai perkembangan pasaran dan peluang baharu di dalam serta luar negara.
Pendedahan kepada maklumat berkenaan penting bagi membantu pemilik perniagaan memahami perubahan landskap industri, mengenal pasti potensi pasaran dan merangka strategi pertumbuhan yang lebih berkesan.
Beliau berkata, pengetahuan mengenai perkembangan semasa di peringkat tempatan dan antarabangsa juga boleh menjadi pencetus idea baharu kepada usahawan untuk meneroka peluang yang sebelum ini sukar dicapai tanpa sokongan jaringan perniagaan yang kukuh.
Mengulas pencapaian platform itu, Dr Gavin berkata, jaringan perniagaan yang dibangunkan pada tahun lalu berjaya menghubungkan urusan perniagaan yang dianggarkan bernilai RM3.05 juta.
Bagi penganjuran tahun ini, pihaknya berharap nilai kerjasama perniagaan yang terhasil dapat meningkat menerusi penyertaan lebih ramai usahawan dan peluasan hubungan antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak penganjur tidak menetapkan sasaran angka tertentu kerana keutamaan diberikan kepada kualiti kerjasama dan potensi sebenar setiap perniagaan untuk berkembang.
Dalam perkembangan sama, seramai 35 penerima anugerah diraikan pada penganjuran tahun ini, membabitkan dua kategori utama iaitu individu dan syarikat korporat.
Dr Gavin menjelaskan pemilihan penerima dibuat melalui proses penilaian yang mengambil kira potensi serta kelayakan calon, bukan semata-mata berdasarkan jumlah penerima yang ingin diketengahkan.
Proses berkenaan merangkumi penilaian pasukan audit terhadap syarikat, termasuk aspek sosial, perniagaan dan dokumentasi berkaitan.
Selain itu, calon turut dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada golongan profesional, termasuk ahli akademik dan profesor universiti.
Pendekatan berkenaan bertujuan memastikan pengiktirafan diberikan kepada individu dan organisasi yang benar-benar mempunyai pencapaian serta potensi untuk memberikan sumbangan kepada industri masing-masing.
Asia Influential Award dijangka diteruskan pada tahun hadapan untuk penganjuran kali ketiga, dengan tumpuan berterusan terhadap usaha memperkukuh jaringan perniagaan dan kerjasama antarabangsa.
Menerusi kesinambungan platform berkenaan, pihak penganjur berharap lebih ramai usahawan Malaysia dapat membina jaringan antarabangsa, meningkatkan daya saing dan meneroka peluang pertumbuhan perniagaan di pasaran global. -UTV



