Penyelesaian ini menimbulkan seribu satu persoalan kerana wujud dakwaan dipihak UMNO, kononnya kemenangan dan kebenaran memihak kepada Apandi Ali. Ini tidak benar sama sekali.
Penyelesaian ini dilakukan tanpa dirujuk terma tersebut kepada Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai salah satu Anakguam kepada Jabatan Peguam Negara. Terma penyelesaian ini juga melibatkan satu pemberian wang yang besar jumlahnya kepada Apandi Ali.
Pada peringkat awalnya, nasihat guaman yang diberikan semasa pemberhentian kontrak Apandi Ali dan sebelum penyelesaian kes saman ini, tidak ada satu pun tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.
Rakyat berhak untuk tahu berapa jumlah penyelesaian dan mengapa Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membuat bayaran tersebut. Wang itu milik rakyat. Adakah kerana Apandi Ali mempunyai kaitan dengan UMNO sebelum daripada ini?
Begitu mudah penyelesaian yang diterima oleh seorang mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa. Penyelesaian ini dilakukan tanpa sebarang pengakuan liabiliti. Apa maksudnya? Tidak ada pengakuan salah dari pihak yang disaman iaitu Kerajaan Malaysia dan Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ini jelas mengelirukan rakyat. Bahkan terma tersebut turut dirahsiakan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak direkodkan dalam Perintah Penyelesaian Persetujuan itu.
Penyelesaian ini jelas dibuat atas arahan individu tertentu. Adakah wujud campur tangan dari pihak pentadbiran tertinggi di kalangan UMNO? Ini memerlukan penjelasan di pihak Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sendiri.
Pemberhentian kontrak Apandi Ali amat berbeza dengan keadaan pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail. Dalam tempoh satu hari, pemecatan itu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi ketika beliau sedang meneliti kertas siasatan kes 1MDB yang melibatkan Najib Razak.
Hubungan Apandi Ali dengan UMNO tidak berakhir dengan peletakan jawatan dia pada tahun 1991. Ini kerana tularnya video dia menari bergembira bersama pemimpin UMNO semasa sedang menjawat jawatan Peguam Negara.
Dia memberi arahan untuk menutup ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terkait SRC International dan dana 2.6 Bilion. Isu integriti timbul.
Apandi Ali juga dilantik kembali menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada
14.7.2018 bagi penggal 2018-2021. Adakah ini bukan konflik berkepentingan? Adakah
pemberhentian Apandi Ali yang dibuat terdahulu salah?
Bagaimana mungkin Peguam Negara pada ketika itu akan berlaku adil dalam
menasihati Kerajaan Malaysia pada masa itu? Ini jelas wujud konflik berkepentingan.
Adakah penyelesaian itu semata-mata dilakukan demi memberi manfaat kepada kroni
UMNO? Ini bukanlah gambaran yang cantik bagi konsep Keluarga Malaysia yang
dilaungkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ini lebih kepada konsep Keluarga UMNO. Rakyat diketepikan, UMNO diutamakan.
Peguam Negara wajib perjelaskan keadaan kepada rakyat.
Komen (0)