Penulis : Jeff
CYBERJAYA – Padang MMU Cyberjaya bakal menjadi medan penyatuan dua negara serumpun apabila Akademi Bolasepak Tunas Lagenda Putrajaya (Malaysia) dijadualkan menentang Akademi Sekolah Keberbakatan Olahraga (SKO) Sumbar dari Indonesia dalam satu perlawanan persahabatan kategori Bawah 17 Tahun (U17).
Perlawanan persahabatan yang dijangka hebat dan penuh emosi ini akan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Multimedia Universiti Cyberjaya Malaysia.

Menariknya pertemuan istimewa ini bukan sekadar aksi di atas padang, sebaliknya membawa mesej lebih besar tentang peranan bolasepak sebagai bahasa universal yang merentas sempadan, budaya dan bangsa. Kehadiran pasukan dari luar negara amat dinantikan oleh golongan belia Malaysia terutama generasi Z kerana secara tak langsung dapat melihat sendiri skil dan corak permainan mereka selain kehadiran mereka menyemarakkan lagi industri pelancongan negara kerana tahun ini merupakan tahun melawat Malaysia 2026. Selain itu ia juga mencerminkan semangat persahabatan serta hubungan erat Malaysia–Indonesia yang terus diperkukuh melalui platform sukan.




Perlawanan ini direalisasikan menerusi kolaborasi strategik bersama MMU Football Club (MMUFC), dengan objektif utama memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain muda serta membina pengalaman kompetitif di peringkat serantau sejak usia awal. Kedua-dua pasukan U17 dijangka tampil dengan semangat juang tinggi, masing-masing membawa identiti, budaya latihan dan falsafah permainan tersendiri. Lebih daripada sekadar mengejar kemenangan, perlawanan ini menjadi ruang pembelajaran, pertukaran pengalaman dan pembentukan karakter pemain yang bakal menjadi aset bolasepak negara pada masa hadapan.

Akademi Bolasepak Tunas Lagenda Putrajaya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Akademi SKO Sumbar atas kesudian hadir ke Malaysia, sekali gus menjayakan perlawanan persahabatan ini.



Diharapkan pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat serta membuka peluang kerjasama berterusan dalam pembangunan bolasepak belia di peringkat serantau.
Seiring dengan aspirasi membentuk pemain bukan sahaja cemerlang di padang, tetapi juga berdisiplin dalam kehidupan, perlawanan ini membuktikan bahawa bolasepak adalah lebih daripada sukan — ia adalah wadah pembentukan insan. Jangan lupa hadir dan saksikan sendiri perlawanan hebat ini pada 24 Januari 2026, Jumpa anda disana!
“Football is the school of life.”



