PUCHONG – Komuniti Hindu di Puchong bakal melakar satu detik penuh makna apabila Majlis Peletakan Batu Asas (Temple Foundation Laying Ceremony) bagi Kuil Sri Maha Karumariamman, Bandar Puchong Jaya akan diadakan pada 23 November 2025, bermula 10.00 pagi hingga 11.30 pagi.



Majlis ini menjadi simbol permulaan rasmi pembinaan struktur baharu kuil bersejarah berusia lebih 148 tahun, yang asalnya dibina pada 1877.


Pembangunan semula ini bertujuan menyediakan ruang ibadat yang lebih selesa, selamat dan moden, selain memenuhi keperluan komuniti Hindu yang semakin berkembang di kawasan Puchong dan sekitarnya.


Menurut Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Devasthanam, majlis batu asas ini merupakan langkah penting dalam kesinambungan warisan masyarakat Hindu di kawasan tersebut.
“Ini adalah saat penting yang menandakan perjalanan baharu kuil ini. Ia bakal menjadi mercu ibadat dan pusat komuniti yang lebih teratur dan selesa untuk generasi akan datang,” jelas pihak jawatankuasa.
Bagi menyemarakkan acara suci ini, siri upacara keagamaan dan pooja khas diadakan selama tiga hari berturut-turut, dari 21 hingga 23 November 2025, dipimpin oleh para pendita melalui pelbagai ritual tradisi Hindu.
Majlis ini turut menerima suntikan sokongan apabila Datuk Seri Dr. M. Saravanan mengumumkan peruntukan RM100,000 melalui pusat MIC bagi membantu pembangunan kuil tersebut.


Dalam kenyataan beliau, Datuk Seri Dr. M. Saravanan menyifatkan projek pembangunan semula ini sebagai satu usaha besar dan bakal menjadi contoh kepada rumah ibadat lain.

“Rumah ibadat ini telah melancarkan peletakan batu asas untuk membina rumah ibadat yang akan menelan kos lebih kurang RM4.5 juta, dan keseluruhan pembinaan bahan mentah akan dibawa masuk Peniaga India. Secara khususnya, ini akan menjadi satu rumah ibadat yang boleh dicontohi oleh rumah-rumah ibadat lain,” katanya.
Pihak pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada para penganut, komuniti setempat dan semua pihak yang sentiasa menyokong pembangunan kuil ini. Mereka menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan majlis dan menerima berkat pada hari penuh makna tersebut.

Majlis Peletakan Batu Asas ini dijangka menjadi titik permulaan penting ke arah menjadikan Kuil Sri Maha Karumariamman sebagai pusat ibadat, budaya dan perpaduan masyarakat Hindu di Puchong. – UTV



